Berita Utama

Anwar dakwa kerajaan isytihar darurat dengan niat buruk

Fail kebenaran semakan kehakiman, cabar tindakan PM nasihat Agong isytihar darurat

KUALA LUMPUR, 13 Jamadilakhir 1442H, Selasa – Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, keputusan kerajaan menuntut pengisytiharan darurat dilakukan dengan niat buruk.

Dakwanya, tindakan itu adalah usaha yang dirancang bagi mengelakkan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan dibentangkan dalam sesi Parlimen akan datang.

Ahli Parlimen Port Dickson berkata demikian dalam afidavit sokongannya, bagi memohon kebenaran memulakan semakan kehakiman atas keputusan kerajaan yang menuntut pengisytiharan darurat.

Anwar mengemukakan permohonan itu di Mahkamah Tinggi melalui Tetuan Karpal Singh & Co dan menamakan Muhyiddin dan kerajaan sebagai responden pertama dan kedua.

Beliau mendakwa, nasihat Kabinet yang dipimpin Muhyiddin kepada Yang Di-Pertuan Agong bertujuan untuk menjaga kepentingan peribadi Perdana Menteri – untuk tetap berkuasa walaupun tidak mendapat sokongan majoriti dari anggota Dewan Rakyat.

“Keputusan Kabinet, yang dipimpin oleh responden pertama yang menasihati Raja untuk melakukan prorog dan / atau menggantung Parlimen, adalah tidak sah dan secara prosedur tidak wajar.

“Dia (Muhyiddin) tidak mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat dan kerana itu, tidak memiliki mandat untuk memberikan nasihat tersebut.

“Raja berperlembagaan terikat dengan nasihat Perdana Menteri yang memerintahkan sokongan di Dewan dan mempunyai kesahihan demokratik,” dakwanya seperti dilapor News Straits Times. 

Peguam Anwar, Ramkarpal Singh dalam satu kenyataan berkata, apa yang dicabar dalam permohonan itu bukanlah pengisytiharan darurat. 

Sebaliknya, keputusan Perdana Menteri melalui Jemaah Menteri untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi meluluskan kaedah 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menggantung persidangan Parlimen dalam tempoh darurat berkenaan.

“Nasihat Perdana Menteri itu dikatakan bertentangan dengan undang-undang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button