Berita Utama

Bimbang PKP tamat kes terus melonjak, ‘sukar kembali 2 digit’

Jika terus longgar dan tak dibendung, kes takkan boleh dikawal lagi

BANGI, 13 Jamadilakhir 1442H, Selasa – Pelbagai reaksi dilontarkan di media sosial sejurus Ketua Pengarah Kesihatan memaklumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak akan dilanjutkan selepas 4 Februari depan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu, usaha membendung pandemik COVID-19 akan diteruskan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama tiga bulan untuk menurunkan kes kepada dua angka.

“PKP pada asalnya dijadual untuk dilaksanakan dalam tempoh dua minggu (sejak 13 Januari lalu) dan kesan pendekatan ini memerlukan masa.

“Justeru, kita lanjutkan sehingga Februari, tetapi kita tak nak panjangkan PKP kerana beri kesan terhadap ekonomi. Kita kena seimbangkan kepentingan ekonomi dan kesihatan.

“Kalau kita laksanakan PKP selama empat minggu, sampai awal Februari, ia kemudian disusuli PKPB bagi tempoh tiga bulan akan datang. Menerusi pendekatan ini, dijangka pada Mei, kita akan dapat turunkan kes (kadar jangkitan harian) kembali ke dua angka,” katanya.

Tinjauan Ismaweb.net di media sosial mendapati rata-rata netizen yakin kes akan meningkat sekiranya PKPB dilaksanakan selepas 4 Februari depan ditambah dengan perayaan Tahun Baharu Cina yang semakin hampir.

Pengguna media sosial dikenali sebagai Sulaihana Mohd Sultan menegaskan selagi kerajaan tidak melaksanakan ‘lockdown’ sekurang-kurangnya tiga minggu, selagi itu kes jangkitan COVID-19 tidak akan turun dan sukar untuk dikawal.

“Kalau terus longgar dan tak dibendung, kes takkan boleh dikawal lagi. Memang nampak susah dan banyak risiko.

“Tetapi selagi tak dilakukan segera, kes yang dah boleh lebih dari 4,000 akan jadi 10,000 ke 12,000 dalam masa terdekat percayalah. Bendung selagi boleh,” katanya.

Sementara Fareez Fareez menggesa kerajaan melaksanakan PKP dengan begitu ketat terhadap negeri-negeri yang merekodkan jumlah kes tertinggi.

Beliau menyarankan negeri yang mencatat kes harian rendah membantu ekonomi negara.

Shaiful Hafizi pula meminta pihak berkuasa melakukan sekatan rentas negeri khususnya ke kawasan zon merah.

“Lakukan penguatkuasaan yang tegas, kenakan hukuman yang berat kepada yang langgar SOP terutama orang politik. Insya-Allah kes kembali menurun,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button