Berita Utama

Ekonomi makin meleset, peniaga gulung tikar jika PKP diteruskan

Kerajaan bakal terbeban cari dana tambahan untuk pakej rangsangan ekonomi 2021

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 13 Jamadilakhir 1442H, Selasa – Ekonomi negara ketika ini belum lagi mencapai kadar pemulihan yang diharapkan, kata penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff. 

Beliau berkata, ekonomi Malaysia menguncup 2.7 peratus pada suku tahun ketiga 2020 setelah menguncup 17.1 peratus dalam suku tahun kedua 2020, yang menyebabkan Malaysia berada di dalam kemelesetan ekonomi. 

Pada bulan November 2020, beliau berkata, nilai jualan peruncitan dan pemborongan merosot 1.2 peratus dan Indeks Pengeluaran Industri pula menguncup 2.2 peratus.

Manakala, kadar pengangguran meningkat kepada 4.8 peratus bersamaan 764,400 penganggur.

“Jumlah pekerja pula merosot kepada 15.2 juta daripada 15.21 juta bulan sebelumnya dan nilai eksport merosot 7.3 peratus.

“Perdana Menteri pernah berkata ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula-mula dilaksanakan pada 18 March 2020, negara kerugian RM2.4 billion sehari. 

“Oleh itu, jika PKP disambung malahan diperketatkan lagi, ianya akan menyebabkan ekonomi kekal meleset dan lebih ramai lagi rakyat akan menganggur dan perniagaan gulung tikar,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Bukan itu sahaja, Pensyarah Kanan, Putra Business School (PBS) itu berkata, kerajaan juga akan terbeban daripada segi kewangan kerana perlu mencari dana tambahan untuk melaksanakan pakej rangsangan ekonomi sepanjang tahun 2021 ini.

“Jadi saya melihat PKP yang lebih ketat adalah langkah yang paling terakhir sekali yang kerajaan patut ambil,” tegasnya.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, PKP tidak akan dilanjutkan selepas empat minggu dilaksanakan kerana ia memberi kesan kepada ekonomi tetapi diteruskan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Beliau berkata, pihaknya tidak mahu kesan pelaksanaan PKP memberi impak negatif kepada ekonomi negara maka ia perlu diseimbangkan dengan kepentingan kesihatan dan ekonomi.

Bersetuju dengan pandangan itu, Dr Razman menegaskan, PKPB patut diperkenalkan semula dan aktiviti ekonomi yang lain dibenarkan berjalan seperti sebelumnya.

“Namun, sekatan pergerakan rakyat ke daerah atau negeri lain perlu diteruskan, dan perjalanan hanya dibenarkan atas faktor pekerjaan atau perniagaan,” katanya.

Manakala, kapasiti pekerja daripada kalangan pengurusan yang wajar berada di pejabat pula boleh dinaikkan kepada 50 peratus berbanding 30 peratus pekerja yang ditetapkan sebelum ini.

“Boleh dinaikkan sehingga 50 peratus kapasiti dengan syarat majikan mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan,” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button