Berita Utama

Langkah bendung wabak positif, kadar ‘R naught’ menurun

PKPB selepas 4 Februari dijangka lebih ketat, sekatan tertentu

KUALA LUMPUR, 13 Jamadilakhir 1442H, Selasa – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan tamat 4 Februari ini berkemungkinan mempunyai beberapa asas.

Ia termasuk tanggapan masyarakat terhadap PKP fasa kedua kali ini, yang disifatkan sangat longgar dan lebih mirip Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pakar virologi dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Yahya Mat Arip berkata, tidak banyak perbezaan antara PKP dan PKPB disebabkan pelbagai kegiatan sektor ekonomi dibenarkan beroperasi seperti biasa.

“Justeru, tiada masalah untuk beralih kepada PKPB, namun saya jangkakan ia bukanlah longgar seperti sebelum ini bagi memastikan matlamat untuk menurunkan kadar kes harian kepada dua angka berupaya dicapai,” katanya.

Bagaimanapun, PKPB yang bakal dilaksanakan mulai 5 Februari depan dijangka lebih ketat dan memperuntukkan sekatan tertentu.

“Oleh itu, sekatan perjalanan rentas negeri berkemungkinan masih dikekalkan, selain beberapa prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan jangkitan COVID-19.

“Pergerakan dalam antara daerah dijangka dibenarkan, selari pelaksanaan PKPB tetapi menerapkan SOP ketat,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, PKP yang bakal berakhir pada 4 Februari ini tidak akan dilanjutkan kerana ia memberi kesan negatif terhadap ekonomi.

Sehubungan itu, mekanisme kawalan bagi membendung penularan COVID-19 di dalam negara akan digantikan dengan PKPB selama tiga bulan, sebelum kadar kes harian dijangka kembali menyusut ke dua angka menjelang 11 Mei.

Menurut beberapa petunjuk, Dr Yahya yakin langkah membendung wabak COVID-19 mula menunjukkan kesan positif apabila kadar ‘R naught’ (RO) atau kebolehjangkitan menurun kepada 1.04, setakat hari ini.

Katanya, jumlah individu yang sembuh atau bebas daripada jangkitan COVID-19 melebihi kadar kes positif harian, sejak 23 Januari lalu.

“Ini mencerminkan bahawa kadar penularan berupaya distabilkan seperti laporan Kementerian Kesihatan (KKM) dan jika pola sedemikian berterusan, RO akan terus menyusut,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button