Berita Utama

Malaysia peroleh 18.4 juta dos vaksin COVID-19 Sinovac, Sputnik V

pembekalan vaksin dijangka secara berperingkat mulai April depan

KUALA LUMPUR, 13 Jamadilakhir 1442H, Selasa – Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini menandatangani dokumen Terms Sheet dengan dua syarikat pembekal vaksin – syarikat Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd (PLS) dan Duopharma (M) Sdn Bhd bagi perolehan 18.4 juta dos vaksin COVID-19, yang meliputi 28.75 peratus dari populasi rakyat Malaysia.

Kementerian itu dalam satu kenyataan memaklumkan, syarikat PLS akan membekalkan 12 juta dos COVID-19 Coronavac, SARS-COV-2 Vaccine (Vero Cell) Inactivated yang dihasilkan oleh Sinovac Life Science Co. Ltd dan pembekalan vaksin ini dijangka dilaksanakan secara berperingkat mulai April depan.

“Syarikat Duopharma pula akan membekalkan 6.4 juta dos vaksin Sputnik V yang dihasilkan oleh Gamaleya Research Institute of Epidemiology and Microbiology di Russia. Vaksin ini dijangka akan mula dibekalkan secara berperingkat mulai penghujung Mac 2021,” menurut kenyataan itu.

Menurut KKM, bagi vaksin COVID-19 Coronavac, SARS-COV-2 Vaccine (Vero Cell) Inactivated, setiap penerima akan diberi dua dos suntikan vaksin dengan dos kedua adalah selepas 14 hari daripada dos pertama.

Dengan jumlah 12 juta dos tersebut, KKM menjangkakan liputan program imunisasi kepada enam juta orang atau 18.75 peratus daripada jumlah populasi di Malaysia berusia 18 tahun ke atas.

“Bagi vaksin Sputnik V pula, setiap penerima akan menerima sebanyak dua dos suntikan dengan suntikan dos kedua adalah selepas 21 hari dari dos pertama. Dengan jumlah 6.4 juta dos ini, KKM menjangkakan liputan program imunisasi kepada 3.2 juta orang atau 10 peratus daripada jumlah populasi di Malaysia berusia 18 tahun ke atas,” menurut kenyataan itu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menandatangani dokumen itu bagi pihak KKM, manakala Pengarah Urusan PLS Datuk Zulkarnain Md Eusope dan Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech Berhad Leonard Ariff Abdul Shatar, masing-masing mewakili syarikat pembekal terbabit.

Menurut kenyataan itu, pembekalan vaksin dari kedua-dua syarikat berkenaan akan dimulakan setelah mendapat kelulusan dari Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah.

Sebelum ini, KKM menandatangani perjanjian pembekalan vaksin dengan syarikat Pfizer dan AstraZeneca, masing-masing sebanyak 24.28 juta dos dan 6.4 juta dos.

Perolehan vaksin-vaksin berkenaan akan diselaraskan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang ketika ini dalam proses akhir mendapat kelulusan kerajaan.

Kenyataan itu menyebut keutamaan kerajaan adalah menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat bagi memastikan Malaysia bebas daripada COVID-19 selain pemulihan ekonomi negara. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button