Berita Utama

Negara belum capai sasaran 20 peratus tenaga boleh diperbaharui

Malaysia banyak guna sumber tenaga dari bahan api fosil

BANGI, 13 Jamadilakhir 1442H, Selasa – Antara perkara pokok dalam hala tuju serta dasar penggunaan tenaga negara-negara di dunia adalah mencari alternatif kepada sumber tenaga.

Ketika ini kebanyakan tenaga daripada bahan api fosil yang mana merupakan tenaga tidak boleh diperbaharui.

Justeru, banyak usaha atau dasar yang telah diadakan untuk menggantikan bahan api fosil ini kepada tenaga yang boleh diperbaharui

Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Datuk Dr Ir Ts Badhrulhisham Abdul Aziz berkata, Malaysia juga tidak terkecuali dan banyak bergantung kepada tenaga yang tidak boleh diperbaharui seperti minyak dan gas serta arang batu.

“Ini merupakan satu perkara yang penting untuk kita kaji dan lihat. Sebab itu juga Malaysia bersama-sama dengan negara-negara lain menumpukan perhatian sekarang ini kepada renewable energy (tenaga yang boleh diperbaharui).

“Bagaimana kita boleh menggunakan tenaga dari bahan api fosil – tidak boleh diperbaharui – kepada yang boleh diperbaharui,” katanya dalam Wacana Dasar 1.0, di TV Pertiwi malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai hala tuju dan dasar penggunaaan tenaga negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tidak lebih lapan peratus daripada campuran tenaga di negara ini menggunakan tenaga yang boleh diperbaharui.

Katanya, jumlah itu jauh daripada yang disasarkan pada 2025 iaitu sebanyak 20 peratus.

Meskipun ada alternatif dibuat berhubung perkara itu, namun ia dilihat amat perlahan, katanya.

“Kita tidak boleh lari dari campuran tenaga ini sebab persoalan besar dunia – yang masih tercari-cari penyelesaian – bolehkah tenaga yang boleh diperbaharui ini menggantikan sepenuhnya tenaga yang tidak boleh diperbaharui.

“Jawapannya tidak, bukan 100 peratus jadi di situ bagaimana kita nak mengimbangkan tenaga yang boleh diperbaharui dengan yang tidak boleh diperbaharui,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button