Berita UtamaDunia

PM Palestin rayu kuasa global senaraikan rejim Israel sebagai pengganas

PA akan ambil tindakan undang-undang ke atas syarikat uruskan penempatan haram

BAITULMAQDIS, 13 Jamadilakhir 1442H, Selasa – Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh mengecam penindasan berterusan oleh penduduk haram Yahudi ke atas rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki.

Beliau turut mengulangi pendiriannya untuk menuntut syarikat perdagangan dengan penduduk haram, lapor Al-Quds Al-Arabi.

Dalam mesyuarat mingguan bersama Kabinet, Mohammad Shtayyeh berkata, sejak kebelakangan ini penduduk haram semakin biadab dan terus bertindak kejam terhadap rakyat Palestin.

Ini termasuk perluasan penempatan, penyitaan tanah dan serbuan ke atas rumah warga Palestin serta tindakan mencabut pokok zaitun di beberapa kampung dan kawasan sekitar wilayah yang diduki.

Beliau turut mengutuk keganasan terancang oleh penduduk haram, selain merayu kuasa global untuk menyenaraikan mereka sebagai pengganas dan mengenakan larangan perjalanan ke atas mereka.

Mohammad Shtayyeh menegaskan bahawa pihak berkuasa Palestin (PA) mengikuti tindakan lanjut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Liga Arab dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) ke atas penduduk haram.

Katanya, PA akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap syarikat-syarikat yang menguruskan dokumen  penempatan haram tanpa sebarang kompromi.

Tegasnya, pembinaan penempatan haram oleh Israel di Tebing Barat yang diduduki adalah melanggar undang-undang antarabangsa, terutama resolusi Majlis Keselamatan PBB 2334. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button