Polis Pahang sedang kesan 1,226 individu bantu siasatan kes
Waran tangkap dikeluarkan kepada 457 individu babit kes jenayah
KUANTAN, 13 Jamadilakhir 1442H, Selasa – Polis Pahang ingin mengesan 1,226 individu bagi membantu siasatan kes jenayah dan trafik yang berlaku sekitar negeri ini sejak 2000 sehingga kini.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya telah mengeluarkan waran tangkap kepada 457 individu membabitkan kes jenayah antaranya bunuh, rogol dan samun, manakala individu yang dikesan bagi jenayah komersial membabitkan kesalahan tipu serta pecah amanah pula seramai 29 orang.
“Bagi jenayah melibatkan narkotik sebanyak 713 waran tangkap telah dikeluarkan manakala 27 waran tangkap lagi dikeluarkan bagi individu yang terlibat kesalahan trafik,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Katanya, orang ramai boleh merujuk senarai individu dikehendaki menerusi Facebook Polis Pahang dan diharap dapat menyalurkan maklumat dengan segera kepada polis menerusi pusat kawalan kontinjen Pahang di talian 09-5051999/2202
Dalam perkembangan lain, Abd Jalil berkata, sebanyak 3,372 permohonan rentas negeri telah diterima semalam dan daripada jumlah itu, 105 terpaksa ditolak kerana alasan yang dikemukakan tidak munasabah. -Bernama