Berita Utama

Untuk langkah pencegahan, anggap ‘orang yang interaksi secara fizikal’ terdedah kepada kes COVID-19′

Hadkan pergerakan golongan yang berisiko tinggi dijangkiti wabak

BANGI, 13 Jamadilakhir 1442H, Selasa – Wabak COVID-19 dapat dibendung jika semua pihak memainkan peranan proaktif dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Antaranya termasuklah memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan mengelakkan diri daripada ke kawasan sesak serta mengehadkan pergerakan golongan yang berisiko tinggi dijangkiti COVID-19.

Timbalan Presiden Ikatan Pengamal Perubatan Dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-MEDIK), Profesor Dr Azizi Ayob berkata, tatkala kes positif COVID-19 berada di komuniti dan di sekeliling kita, maka individu tersebut bersifat sebagai pembawa (virus carrier) serta mudah dijangkiti (infectious) kepada individu lain.

“Dan kita terpaksa bersikap pro-aktif dalam konteks pencegahan, dan sentiasa berwaspada kemungkinan mereka yang berinteraksi secara fizikal dengan kita adalah positif COVID-19, sehingga dibuktikan sebaliknya. Ini bertujuan untuk memastikan kita terhindar dari dijangkiti.

“Justeru, pemakaian pelitup muka adalah wajib dan penjarakan fizikal tetap dilakukan pada setiap masa,” katanya dalam kenyataan ringkas di Facebook hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas keputusan pihak berkuasa untuk tidak melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, kecuali Sarawak yang dijadual berakhir pada 4 Februari ini.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan itu diambil bagi mengelak kesan negatif terhadap ekonomi negara, susulan pelaksanaan PKP.

Sehubungan itu, katanya, PKP yang dijadual berakhir pada 4 Februari ini akan disambung dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Mengulas lanjut, Prof Azizi berkata, kanak-kanak, orang tua atau mereka yang menghidapi penyakit kronik adalah golongan terdedah, mudah dijangkiti dan berisiko tinggi.

Oleh itu pergerakan mereka perlu dihadkan semampu yang boleh supaya rantaian COVID-19 boleh diputuskan.

“Tempat-tempat berisiko tinggi termasuk kawasan sesak di pasaraya, kedai, pasar, serta kawasan dalam pembangunan (construction) adalah dikenal pasti sebagai ‘red sites’ dan semestinya dielakkan (pergi),” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button