Berita Utama

Masa tepat kerajaan, hospital swasta bersama tangani COVID-19

RM100 juta melalui PERMAI beri ‘nyawa’ kepada kedua belah pihak

KUALA LUMPUR, 14 Jamadilakhir 1442H, Rabu – Peruntukan RM100 juta bagi meningkatkan kerjasama antara kerajaan dan hospital swasta seperti diumumkan dalam Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) seolah memberi ‘nyawa’ kedua buat benteng utama negara dalam menangani pandemik COVID-19.

Biarpun jumlah insentif yang diperuntukan itu mungkin ‘jauh’ daripada angka yang diperlukan, namun komitmen yang merentasi aspek keuntungan itu diyakini berupaya meringankan bebanan sektor kesihatan awam yang semakin tenat, akibat peningkatan besar kes baharu koronavirus maut ini.

Bukan sahaja sanggup menerima rujukan pertukaran dan merawat pesakit bukan COVID-19 dari hospital kerajaan ke hospital swasta, malah komitmen beberapa buah hospital swasta seperti yang diumumkan oleh Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) sudah pastinya melegakan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Sehingga 25 Januari 2021, terdapat 210 hospital swasta berlesen, di mana 129 hospital swasta menawarkan perkhidmatan pesakit dalam (inpatient) bagi bidang Perubatan Dalaman (internal medicine). Daripada jumlah tersebut, 96 hospital swasta telah bersetuju untuk menyediakan rawatan COVID-19 di mana jumlah katil setakat ini adalah 1,252 katil, 65 katil ICU, dan 54 mesin ventilator.

BERKONGSI BEBAN

Menganggap sudah tiba masanya ‘berkongsi tanggungjawab’ untuk mengurangkan beban petugas barisan hadapan kesihatan kerajaan yang saban hari ‘berperang’ untuk melandaikan lengkungan kes positif COVID-19, presiden dan pengarah urusan KPJ Healthcare Bhd, Ahmad Shahizam Mohd Shariff, percaya ia perkara paling terbaik dilakukan memandangkan keadaan sekarang amat genting.

“KPJ memandang positif keputusan kerajaan ini dan bersedia melakukan persiapan di hospital kami untuk menerima pemindahan pesakit bukan COVID-19 daripada hospital kerajaan.

“Kami faham dan bersedia berganding bahu memandangkan situasi tersebut dijangkakan apabila keadaan di hospital kerajaan semakin mendesak dengan kebanjiran pesakit COVID-19,” katanya yang dihubungi Bernama baru-baru ini.

Malah Ahmad Shahizam berpendapat, gabungan tersebut dilihat amat perlu supaya masyarakat dapat kembali kepada kehidupan yang sihat dan selamat.

Tidak menolak akan ada pihak yang akan mempertikaikan mengapa perlu insentif tersebut diberikan memandangkan hospital swasta mempunyai platform menjana pendapatan tersendiri, Ahmad Shahizam menegaskan, kini bukan masanya untuk mengaut keuntungan semata-mata kerana isu utama di sini adalah tanggungjawab kemanusiaan sejagat.

“Kami secara bertanggungjawab cuba mengimbangi kedua-duanya, malah kami sedia memainkan peranan demi keperluan negara. Ini kerana kami sedia maklum dengan kapasiti kemampuan kewangan pesakit hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang disenarai pilih untuk dipindah rawat ke hospital swasta.

BUKAN MENGAUT KEUNTUNGAN

“Jadi, keuntungan yang mungkin terhasil daripada transaksi ini dijangka adalah minimum dan bergantung kepada perjanjian kerjasama antara KKM dengan pihak hospital swasta,” jelas Ahmad Shahizam.

Untuk itu, pihaknya akan bekerjasama dalam mengenal pasti pesakit yang layak untuk dirujuk dan dipindah rawat ke hospital swasta.

Pelbagai aspek klinikal akan diberikan keutamaan, contohnya, tahap kritikal pesakit untuk mendapatkan rawatan atau membuat prosedur serta tahap kestabilan pesakit untuk dipindah rawat.

Mengulas mengenai tahap kesiapsiagaan, beliau menjelaskan KPJ mempunyai kapasiti yang diperlukan untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuklah kemudahan ‘pengasingan’ (isolation) di wad dan Unit Rawatan Rapi (ICU).

Selain wad khas, bantuan lain termasuk peralatan hospital, kepakaran klinikal seperti doktor pakar, jururawat terlatih serta tenaga pakar dan ini dilihat memberi kelebihan untuk menguruskan pesakit COVID-19 di fasiliti mereka.

“Dengan semua kemudahan ini, kami mampu memberi komitmen dalam membantu pihak KKM dan bersedia menerima pesakit yang didapati positif COVID-19 tahap 1 hingga 2. Dalam masa yang sama, kami akan terus mempertingkatkan kesiapsiagaan keselamatan klinikal di hospital kami,” katanya.

TAMBAH KELENGKAPAN, KEPAKARAN

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL), Erica Lam, (she) turut senada malah melihat insentif PERMAI yang diumumkan itu sangat membantu memandangkan semua hospital di Malaysia memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi untuk beroperasi tanpa mengira hospital kerajaan atau swasta.

“Apa yang membezakan kedua-dua perkhidmatan ini adalah sumber kewangan mereka. Hospital kerajaan mendapat peruntukan penuh kerajaan untuk menjalankan operasi manakala hospital swasta bergantung kepada pesakit dan peruntukan tertentu daripada kerajaan seperti rebat cukai dan sebagainya.

“Perbelanjaan kami semuanya ditanggung menerusi pendapatan kami sendiri seperti kos penyelenggaraan, kos pembelian dan juga sumber manusia. Sama seperti perniagaan lain, kami juga terjejas teruk dengan pengurangan pesakit ke hospital kami. Malah industri pelancongan kesihatan juga terjejas teruk apabila negara kita mengehadkan bilangan pesakit dari luar negara,” katanya.

Beliau menegaskan, keadaan itu bagaimanapun tidak menghalang pihaknya untuk bekerja keras bagi menanggung kos penyelenggaraan yang semakin meningkat, menyediakan kelengkapan saringan dan sanitasi untuk memastikan semua pesakit dan pelawat yang datang ke PHKL dapat menerima rawatan dalam suasana yang selamat.

PASUKAN KHAS BANTU PANTAU PESAKIT

Menurut Erica, PHKL turut menubuhkan pasukan khas yang dipanggil Pasukan Penilaian COVID-19 di Rumah (Home Assessment Team) atau CHAT untuk memantau setiap hari pesakit kategori 1 dan 2 yang mendapatkan rawatan di fasiliti mereka, menerusi panggilan telefon.

Di samping menyedia serta menyelenggarakan sebuah wad khas yang dilengkapi peralatan bantuan pernafasan untuk menerima pesakit COVID-19, PHKL juga turut menyediakan satu ambulans khas untuk pesakit COVID-19 supaya pesakit bukan COVID-19 berasa lebih yakin untuk terus datang ke PHKL untuk mendapatkan rawatan.

“Bagi kes bukan berkaitan COVID-19 juga, PHKL dengan hati terbuka akan membantu hospital kerajaan dalam menangani kes perubatan yang tertangguh sebagai sebahagian daripada usahasama antara hospital kerajaan dan hospital swasta. Kes-kes yang memerlukan rawatan lanjut seperti jantung dan kanser adalah kes yang boleh dirujukkan ke PHKL.

“Jadi, menerusi usahasama seperti ini, hospital kerajaan mempunyai kapasiti lebih besar untuk menangani kes lebih berat seperti COVID-19,” jelasnya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button