Berita Utama

Anwar rumitkan lagi keadaan, beri impak negatif pada kesejahteraan negara

Bina reputasi serta nama baik parti-parti politik dalam kalangan rakyat

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 14 Jamadilakhir 1442H, Rabu – Dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya keputusan kerajaan menuntut pengisytiharan darurat dilakukan dengan niat buruk, hanya merumitkan keadaan sekali gus memberi implikasi negatif kepada kesejahteraan negara.

Ini kerana, proklamasi darurat yang diisytihar oleh Yang di-Pertuan Agong itu telah diperhalusi dari semua aspek, termasuk mendapat dukungan daripada Majlis Raja-Raja.

Paling jelas Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memahami sebab darurat perlu diadakan, kata penganalisis politik, Dr Syed Agil Syed Alsagoff.

“Seharusnya Anwar juga perlu memahami bahawa kegawatan pandemik COVID-19 akan menyebabkan negara dilanda kecemasan disebabkan rakyat dihimpit masalah sosial, pengangguran, kewangan, mental dan sebagainya.

“Tidak bererti proklamasi darurat ini dibuat untuk menyelamatkan kerajaan yang dikatakan hilang majoriti, sedangkan isu-isu kesihatan dan kesejahteraan rakyat dipinggirkan.

“Ia lebih penting berbanding dengan kepentingan politik yang akan membawa konflik ketidakstabilan politik negara dan memudaratkan prestasi ekonomi negara, “ katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Semalam, Anwar mengemukakan semakan kehakiman terhadap tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat.

Anwar menamakan Muhyiddin dan kerajaan sebagai responden pertama dan kedua.

Ketua pembangkang itu mendakwa, nasihat Kabinet yang dipimpin Muhyiddin kepada Yang Di-Pertuan Agong bertujuan untuk menjaga kepentingan peribadi Perdana Menteri – untuk tetap berkuasa, walaupun tidak mendapat sokongan majoriti dari anggota Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Dr Syed Agil berkata, Anwar sepatutnya bersikap optimistik, secara tidak langsung rakan-rakan parti politik beliau sudah pasti boleh menyusun strategi lebih mampan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sebaik sahaja selesai tempoh darurat.

Katanya, Anwar perlulah menggunakan tempoh proklamasi darurat itu sebagai satu masa untuk bersama-sama memperbaiki tahap sosioekonomi rakyat, membina reputasi serta nama baik parti-parti politik dalam kalangan rakyat.

Ini sejajar dengan teguran Yang di-Pertuan Agong supaya semua pemimpin politik mengurangkan politiking dalam kalangan rakyat, tetapi fokus untuk membangunkan negara daripada musibah COVID-19.

“Lihat sahaja beberapa pemimpin negara dan ‘frontliners’(petugas barisan hadapan) telah terkesan dengan COVID-19 dan ianya sudah pasti hampir melumpuhkan jentera perubatan di negara ini.

“Justeru, Anwar harus patuh dengan kebijaksanaan Seri Paduka membuat keputusan, perlu ingat baginda adalah ketua Perlembagaan di negara ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button