Berita Utama

Dong Zong kerjasama dengan OUM, pertingkat kebolehan Mandarin

Kursus pendidikan ini sasar guru bukan Cina, tak mahir Mandarin

KUALA LUMPUR, 14 Jamadilakhir 1442H, Rabu – Pertubuhan pendidikan radikal Cina, Dong Zong kini memperluaskan pengaruhnya ke salah sebuah institusi pendidikan di negara ini dengan menjalinkan kerjasama dengan Open University Malaysia (OUM).

Portal berita berbahasa Cina, Kwong Wah pada 22 Januari lalu melaporkan, untuk membolehkan guru bukan Cina yang berkhidmat di Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan guru yang tidak mahir berbahasa Cina menerima latihan pendidikan profesional, Dong Zong kini bekerjasama dengan OUM untuk menjadikan bahasa Mandarin dan Inggeris sebagai bahasa pengantar. 

Difahamkan bahawa kursus pendidikan profesional ini adalah untuk meningkatkan kebolehan guru SMPC secara keseluruhan.

Katanya, Diploma Lepasan Ijazah dalam Pengajaran (PGDT) adalah kursus kelayakan profesional selama satu tahun yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk guru yang mendapat tawaran daripada OUM.

Kursus ini dirancang untuk pendidik yang belum memperoleh kelayakan pengajaran yang diiktiraf MQA dan ingin melanjutkan pendidikan dan latihan guru yang lebih profesional.

“Kursus ini akan dimulakan secara rasmi pada bulan Mei tahun ini dan akan berjalan selama satu tahun; ia dibahagikan kepada tiga semester, setiap semester ada 17 minggu, dan guru boleh mengambil bahagian melalui kursus dalam talian pada masa lapang ketika hujung minggu,” katanya.

Kursus ini dibiayai oleh tabung pendidikan. 

Mereka yang memohon kursus ini dan memenuhi syarat untuk mendapat biasiswa akan mendapat dana sehingga RM5,000.  

Menurut ‘Langkah-langkah Pelaksanaan Program Kursus Diploma Profesional untuk Pendidikan Guru di Sekolah Menengah Cina Bebas yang ditaja oleh Dong Zong’, mereka yang lulus penilaian dan berjaya menamatkan kursus akan dihantar pencalonannya oleh sekolah untuk memohon. 

“Setelah mendapat kelulusan, setiap pelajar akan menerima geran sebanyak RM1,000.  Di samping itu, kursus ini terbuka untuk guru bukan Cina atau guru bukan Cina yang tidak mahir berbahasa Cina di SMPC dan Sekolah Menengah Cina Kuantan. 

“Sesiapa sahaja yang mempunyai diploma sarjana muda yang diperakui MQA dan PNGK 2.5 atau lebih tinggi boleh dimasukkan ke OUM. 

“Sekiranya keputusannya tidak mencapai standard, sekolah mengesyorkan agar guru mempunyai kelayakan mengajar selama 5 tahun ke atas, dan mereka juga boleh diterima masuk,” katanya.

Katanya lagi, permohonan bagi kursus itu perlu dibuat sebelum 26 Februari nanti.

Dong Zong sebelum ini dipercayai mempunyai pengaruh yang kuat di dalam Universiti Tun Abdul Razak (UTAR).

Selain itu, ia turut memiliki institusi pendidikan sendiri iaitu New Era College University.

Usaha sama dengan OUM juga dilihat sebagai salah satu kaedah ia memperluas dan memperkukuhkan pengaruh dalam institusi pendidikan di negara ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button