Berita Utama

Hanya tambah beban, BERJASA persoal penyertaan Gerakan dalam PN

Bagaimana Muhyiddin boleh terima parti lantang bantah agenda pemerkasaan Islam?

BANGI, 29 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Ketua Wanita Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Dr Rashidah Abdul Rahman menyifatkan penyertaan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) ke dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) sebagai sesuatu yang janggal.

Ini kerana, kata beliau, sebelum ini Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah menyatakan hasrat untuk menyatukan kepimpinan Melayu Islam dalam sebuah jemaah besar di bawah PN. 

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, pemimpin-pemimpin Melayu Islam perlu melihat maslahah yang lebih besar atau seruan perpaduan Melayu ini akan selama menjadi retorik.

Namun, Dr Rashidah berkata, kini sebaliknya berlaku apabila PN menerima parti Gerakan ke dalam gabungan mereka kerana sejarah pimpinan parti serpihan MCA itu sering kali menolak agenda-agenda pemerkasaan Islam. 

Katanya, ia sama sekali tidak dapat dipadam dalam sejarah Malaysia.

“Amat pelik bagaimana parti yang mengangkat slogan perjuangan ‘Melayu-Islam’ hari ini tiba-tiba boleh menerima parti yang lama menentang agenda-agenda pemerkasaan Islam dalam negara ini.

“Pemimpin Melayu Bersatu di dalam kerajaan sudahlah tidak lantang mempertahankan isu Melayu dan Islam, kini menambah beban pula dengan ‘menjemput’ Gerakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menegaskan, jika tiada parti Melayu yang berani, maka BERJASA secara berseorangan bersedia melawan keceluparan parti-parti rasis DAP, MCA dan Gerakan. 

Pada Julai 2019, media melaporkan bahawa tulisan Jawi akan diajar di sekolah vernakular bermula tahun 2020 dan seterusnya. 

Tidak berpuas hati dengan pengumuman itu, Gerakan melancarkan kempen tandatangan di seluruh negara pada bulan Ogos untuk mendapatkan tandatangan orang ramai yang menentang cadangan ini dan membentangkannya kepada kerajaan. 

Seterusnya, Gerakan memfailkan saman terhadap kerajaan Persekutuan untuk mencabar keputusan untuk menguatkuasakan pengajaran skrip Jawi pada September 2019.

Bukan itu sahaja, Gerakan juga menyelar kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana kegagalan dalam mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14.

Hari ini, Gerakan mengumumkan secara rasmi diterima sebagai salah sebuah parti anggota PN.

Muhyiddin berkata, penyertaan Gerakan dalam PN amat dialu-alukan dan beliau percaya langkah itu akan memperkukuhkan PN sebagai gabungan parti-parti politik yang mewakili masyarakat pelbagai kaum dan wilayah di Malaysia.

Beliau memberitahu, kemasukan Gerakan sebagai parti anggota PN itu diluluskan secara sebulat suara oleh Majlis Tertinggi PN.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button