Berita Utama

JAIS benarkan PPP kendali akad nikah melalui sidang video

Kaunter secara janji temu mula dibuka bagi urusan tertentu di PAID

SHAH ALAM, 14 Jamadilakhir 1442H, Rabu – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membenarkan Penolong Pendaftar Perkahwinan (PPP) yang bertugas di semua masjid pengurusan untuk melaksanakan akad nikah secara sidang video mulai 4 Februari ini.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, sehubungan itu perkhidmatan kaunter secara janji temu mula dibuka bagi urusan tertentu di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) mulai Isnin ini.

“Buat permulaan, 25 urusan janji temu ditetapkan setiap hari bagi perkhidmatan kaunter yang dibuka mulai pukul 8.00 pagi hingga pukul 1.00 petang, dan setakat ini 900 slot janji temu di semua PAID telah penuh sehingga Jumaat ini.

“Slot janji temu yang dibuka ini juga akan ditingkatkan dari semasa ke semasa berdasarkan kepada arahan Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia dan permintaan pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dikuatkuasakan pada 13 Januari lepas, JAIS melaksanakan majlis akad nikah secara sidang video dengan mengutamakan perkara wajib dan rukun nikah bagi memastikan keselamatan semua pihak terpelihara daripada jangkitan COVID-19.

Katanya, sejak PKP dilaksanakan sehingga kini, 442 pasangan telah dinikahkan secara sidang video dengan Pendaftar Perkahwinan di PAID menyaksikan lafaz ijab dan qabul oleh wali serta pengantin lelaki yang berada di rumah dengan pengantin perempuan bersama dua saksi. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button