Jangan takut! Laporkan kes keganasan rumah tangga kepada polis
Mangsa boleh buat aduan meskipun dalam tempoh PKP/PKPB/PKPP

BANGI, 14 Jamadilakhir 1442H, Rabu – Orang ramai tidak perlu takut untuk melaporkan isu keganasan rumah tangga kepada pihak polis.
Mangsa boleh tampil membuat aduan di mana-mana balai polis meskipun ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Polis tiada kompromi dalam menjalankan siasatan. Mangsa berhak mendapat perlindungan,” kata Polis Daerah Petaling Jaya dalam satu kenyataan di Facebook.
Mangsa kes keganasan rumah tangga juga boleh terus menghubungi pihak polis bagi memohon pertolongan menerusi talian yang tertera di dalam Portal Rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) di http://rmp.gov.my/direktori-pdrm/bukit-aman
Kadar kes keganasan rumah tangga dilaporkan semakin meningkat sejak tempoh PKP dilaksanakan pada Mac lalu.
Di Selangor, sebanyak 4,872 panggilan telah diterima menerusi panggilan dan mesej melalui apilkasi WhatsApp di WAO Hotline dan ‘Talian Think I Need Aid’ atau TINA, setakat September tahun lalu.
Di Kelantan, bagi kes keganasan rumah tangga pula, kes tahun 2020 bertambah kepada 523 kes berbanding 519 pada 2019 atas pelbagai kesalahan.