Perkeso siasat kegiatan palsukan dokumen tuntutan faedah
Kira-kira 16 kes dikaitkan dengan seorang pegawai perubatan

KUALA LUMPUR, 14 Jamadilakhir 1442H, Rabu – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sedang menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti kewujudan sebarang kegiatan pemalsuan dokumen rekod pesakit bagi tujuan tuntutan faedah.
Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, ia susulan kes pemalsuan dokumen bagi tujuan tuntutan faedah membabitkan seorang pegawai perubatan di sebuah hospital di Pulau Pinang pada 25 Januari lepas.
“Sekiranya terdapat penemuan yang berkaitan, Perkeso akan melaporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas mengenai kes melibatkan pegawai perubatan itu, Dr Mohammed Azman berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan polis untuk mengenal pasti dokumen yang terbabit bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, berdasarkan beberapa dokumen yang telah dikemukakan untuk pengesahan, Perkeso mendapati dokumen berkenaan telah diproses untuk pembayaran tuntutan faedah dan hasil siasatan awal mendapati, sekurang-kurangnya 16 kes dapat dikaitkan dengan pegawai perubatan berkenaan.
“Memandangkan pihak polis masih menjalankan siasatan terhadap kes ini, sebarang kenyataan lanjut hanya akan dimaklumkan setelah siasatan selesai,” katanya. -Bernama