Berita UtamaDunia

Petugas barisan hadapan hospital di Palestin mogok

850 pekerja belum menerima gaji mereka sejak Oktober

BAITULMAQDIS, 14 Jamadilakhir 1442H, Rabu – Hospital Palestin terbesar di Baitulmaqdis, al-Makassed – institusi penjagaan kesihatan utama bagi kebanyakan rakyat Palestin – menutup pintunya kepada pesakit baharu ketika mogok pekerja memasuki hari kedua, semalam.

Dilaporkan mogok itu dilakukan sebagai protes terhadap krisis kewangan yang menimpa pusat perubatan itu sejak beberapa bulan lalu.

Kesatuan sekerja hospital dalam satu kenyataan berkata, kakitangan tidak dapat menjalankan tugas kerana krisis kewangan berlanjutan dan gaji yang tertunda, termasuk pengabaian serta kelalaian pentadbiran al-Makassed.

Kesatuan mendakwa, pentadbiran hospital dan Pihak Berkuasa Palestin (PA) mengabaikan tanggungjawab mereka, sambil menambah bahawa hospital dan kliniknya tidak lagi menerima pesakit yang tidak kritikal, tetapi tetap komited merawat mereka dimasukkan sebelum mogok tersebut.

Setiausaha kesatuan pekerja Al-Makassed, Mohammed Ghobash memberitahu Middle East Eye bahawa, kira-kira 850 pekerja belum menerima gaji sejak Oktober, menyebabkan sebahagian daripada mereka tidak dapat menampung keluarga, sementara yang lain tak mampu membayar tambang untuk datang ke tempat kerja.

Ghobash memaklumkan bahawa hospital juga mengalami kekurangan ubat-ubatan dan alatan perubatan.

Dikenali sebagai ‘hospital orang miskin”, al-Makassed telah merawat rakyat Palestin dari Tebing Barat, Baitulmaqdis dan Gaza yang diduduki sejak penubuhannya pada tahun 1968, menjadi institusi penting dalam sistem penjagaan kesihatan Palestin selama bertahun-tahun.

Ketika ini, ia menanggung hutang AS$48.9 juta (RM197.7 juta).

Al-Makassed mengalami tekanan kewangan yang melumpuhkan ketika menunggu Kementerian Kesihatan PA, yang merangkumi rujukan pesakit dari Tebing Barat dan Gaza, untuk membayar tunggakan berjumlah AS$18 juta (RM72.7 juta).

“Kami menganggap pentadbiran hospital dan Pihak Berkuasa Palestin… bertanggungjawab atas semua yang telah berlaku,” kata ahli kesatuan al-Makassed, Ahmed Ayyad.

Hospital itu juga berhutang sejumlah AS$20 juta (RM80.8 juta) kepada syarikat bekalan perubatan, dan sekitar AS$9 juta (RM36.3 juta) dalam cukai, insurans kesihatan Israel dan pinjaman bank, kata ketua hospital dan jabatan perubatan dalaman dan kardiologi, Izz al-Din Hussein, kepada MEE pada bulan Ogos.

“Kira-kira 80 peratus pekerja bergantung pada rujukan dari Kementerian Kesihatan, yang merujuk pesakit dengan alasan ia akan menanggung perbelanjaan perubatan mereka, tetapi hutangnya telah terkumpul sementara PA tidak melakukan pembayaran bulanan. 

“Kami juga dikenakan potongan besar pada bil PA. Oleh itu, kita, sebagai sebuah kesatuan, menuntut agar pentadbiran al-Makassed bergerak untuk memungut hutang. Kami mahukan gaji kami sebagai pertukaran dengan perkhidmatan yang kami berikan,” katanya.

Ayyad menambah bahawa, memandangkan hospital kerajaan adalah barisan pertahanan pertama COVID-19, paling sedikit yang diharapkan oleh pekerja sektor kesihatan adalah gaji mereka. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button