Annuar Musa jangka PRU15 sebelum 1 Ogos
Jangan sombong dan bongkak, di depan lain, belakang lain

BANGI, 15 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Tan Sri Annuar Musa tidak menolak kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan berlaku sebelum 1 Ogos ini atau 60 hari selepasnya.
Sehubungan itu, beliau yang juga bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata, adalah penting untuk ahli UMNO memastikan parti itu memang pada pilihan raya umum berkenaan.
“Tidak mustahil PRU15 boleh berlaku sebelum 1 Ogos atau 60 hari selepasnya.
“Justeru yang paling utama bagi kita ahli UMNO ialah memastikan UMNO memenangi PRU itu atau sekurang-kurangnya UMNO adalah ‘part of the winning team’ (sebahagian daripada pasukan yang menang),” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh menegaskan, sudah menjadi tanggungjawab para nakhoda UMNO untuk mengemudi parti ke arah kejayaan dan bukan ke arah untuk menghancurkan.
“Sementara para juragan terus mendayung, bekerja kuat sepasukan membawa parti ke destinasinya. Jangan sombong, bongkak, hasad dan jangan pepat di luar rencong di dalam serta jangan depan lain, belakang lain.
“Berkata benar, berterus terang serta sabar bila difitnah. Insya-ALLAH kebenaran dan kemenangan menanti di hadapan. Yang penting UMNO selamat, kekal diyakini dan disayangi rakyat,” katanya.