Berita Utama

COVID-19 hampir ragut nyawa saya! Azizan Osman kongsi pengalaman

31 ahli keluarga positif, ibu mentua meninggal dunia

BANGI, 15 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Pakar motivasi dan penceramah, Datuk Azizan Osman berkongsi pengalaman ‘perit’ dijangkiti COVID-19 selepas menjadi kontak rapat dengan seorang pesakit yang sama pada 7 Januari lalu.

Selain beliau, 31 ahli keluarganya turut dijangkiti, manakala ibu mentuanya meninggal dunia akibat pandemik COVID-19.

Menerusi kenyataan di Facebook hari ini, Azizan menggambarkan kejadian yang menimpa beliau sebagai sesuatu yang sangat berat dan memeritkan untuk ditanggung.

“COVID-19 hampir meragut nyawa saya! (Pada jam) 1.44 petang, Jumaat 15 Januari, saya dah hampir maut! Nafas saya sesak! Doktor kata peluang saya amat tipis! Tetapi sesuatu berlaku yang membuktikan kekuasaan Allah SWT.

“Saya dan keluarga diuji dengan virus COVID-19. (Seramai) 31 ahli keluarga saya dijangkiti COVID-19 dan ibu mentua saya telah kembali ke rahmatullah.

“Tak mudah untuk saya kongsikan betapa sedih, perit dan ngeri pada waktu itu. Tetapi sangat penting untuk saya kongsikan sebagai seorang mentor, saya nak anda tahu proses ini,” katanya.

Pengasas syarikat RichWorks International itu berkata, beliau hampir menitiskan air mata ketika berkongsi perkara ini, namun sokongan ahli keluarga dan rakan-rakan membuatkannya lebih tabah.

“Masa itulah saat penentu untuk pergi atau kekal… ‘you’ tak boleh bernafas, ‘you’ tak boleh tarik, ‘you’ tak boleh hembus hanya gunakan mesin untuk terus bertahan dan melawan dengan otak, emosi dan diri.

“Kamu mahu hidup? Kamu mahu lawan? Itu la saatnya… Dan Insya-Allah, ini masanya untuk saya betulkan segalanya. Peluang kedua ini bukan sekadar suka-suka.

“Saya percaya ada sebab Allah bagi peluang ini untuk saya buat segalanya dengan lebih baik, dan menjadi mentor yang lebih baik,” katanya.

Pada masa sama, Azizan menyifatkan pandemik COVID-19 bukan hanya telah menjejaskan kehidupan ramai orang dalam meneruskan kelangsungan hidup, bahkan turut memberi kesan kepadanya.

“Melihat bagaimana pandemik ini begitu kritikal hingga ada yang tekad bunuh diri. Seorang ibu yang mencuri ubat untuk anak-anak, ada yang mencari rezeki di tempat sampah.

“Kerajaan yang sedang berkira-kira untuk total lockdown yang akan beri impak pada pekerjaan ramai orang dan perniagaan.

“Tekanan perasaan dan banyak lagi dalam berita semasa. Ini semua cukup memberi kesan pada saya betapa saya belum berjaya bantu bangsa saya untuk berjaya,” katanya.

Difahamkan, Azizan ketika ini telah sembuh daripada wabak COVID-19.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button