i-Guru, Yayasan Maghfirah sumbang bantuan persekolahan
Bantu pelajar terjejas akibat banjir, kebanyakan golongan B40

BANGI, 15 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) terus komited menyampaikan sumbangan kepada pelajar sekolah yang terjejas akibat bencana banjir.
Terbaharu, i-Guru menyampaikan sumbangan kelengkapan sekolah kepada ibu bapa pelajar Sekolah Kebangsaan Kuala Jengal, Dungun.
i-Guru dalam kenyataan hari ini berkata, sumbangan itu diwakilkan kepada Guru Besar sekolah berkenaan iaitu Razahawari Che Wan.
“SK Kuala Jengal telah mengalami banjir dan ramai ibu bapa sekitar terkesan akibat banjir tersebut yang rata-rata dari kelompok B40.
“Sumbangan ini adalah inisiatif i-Guru dengan kerjasama Yayasan Maghfirah untuk membantu murid-murid yang terjejas akibat banjir,” katanya.
Pada masa sama, i-Guru merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada orang ramai yang memberi sumbangan serta pengurusan sekolah dalam menjayakan misi bantuan banjir ini
“Semoga sumbangan ini meringankan beban ibu bapa menghadapi sesi persekolahan secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR),” katanya.