Berita Utama

Kapal di Lipis mungkin terlibat dalam aktiviti lombong emas

'Turut ditemukan seramik dagangan seusia dengan relik kapal'

KUANTAN, 15 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Rangka kapal yang ditemukan selepas banjir surut di Kampung Pagar, Penjom, Kuala Lipis kira-kira 220 kilometer dari sini, dua minggu lepas berkemungkinan jenis steamship (kapal stim) dan terlibat dengan kegiatan perlombongan emas di Penjom yang beroperasi sejak abad ke-19 di kawasan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata berdasarkan analisis awal, kapal berkenaan dianggarkan panjangnya antara 25 meter sehingga 300 meter.

“Daripada tinjauan permukaan dijalankan, lebih 100 pecahan kayu ditemukan yang dipercayai merupakan sebahagian daripada badan kapal tersebut, ia berdasarkan morfologi dan jenis kayu serta paku yang terdapat pada jumpaan tersebut.

“Turut ditemukan sejumlah seramik dagangan yang seusia dengan relik kapal itu yang terdiri daripada seramik China dan Eropah di sekitar tapak jumpaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Sharkar berkata Jabatan Warisan Negara dan Perbadanan Muzium Negeri Pahang dengan kerjasama penduduk kampung telah menjalankan proses penyelamatan selama lima hari bermula 19 Jan lepas, meliputi proses mendokumentasi, merekodkan dan memelihara artifak itu untuk ditempatkan di Muzium Warisan Lipis di bawah jagaan Pejabat Daerah Lipis.

Menurut Mohd Sharkar, penyelidikan pada fasa seterusnya dijangka akan melalui proses ekskavasi arkeologi di tapak jumpaan untuk mendapat maklumat secara saintifik dan memastikan kesuluruhan artifak yang tertinggal berkaitan relik tersebut dapat ditemukan.

Tambah beliau, berdasarkan rekod sejarah, terdapat beberapa kapal jenis steamship telah beroperasi atau melalui sungai Pahang di Kuala Pahang sehingga Sungai Lipis, antaranya, SS Amherst yang dilaporkan karam di Kuala Pahang dan kapal Seri Pahang yang dipercayai karam di Paloh Hinai, Pekan.

Selain itu, terdapat sebuah kapal lagi pernah beroperasi di kawasan sama, iaitu SS Senyum yang beroperasi di bawah syarikat perlombongan emas Penjom, namun tiada rekod kapal berkenaan karam ditemui setakat ini.

Pada 14 Jan lepas, sebahagian struktur kapal yang hampir lengkap ditemukan terdampar berhampiran Sungai Lipis oleh penduduk kampung berkenaan setelah banjir teruk mula melanda Pahang pada 3 Januari surut. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button