Berita Utama

Lagi cubaan seludup 31 tan ayam sejuk beku ‘meragukan’ dari Thailand

Dibawa masuk tanpa patuhi syarat import, pusat sembelihan tak diiktiraf

BANGI, 15 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menggagalkan cubaan menyeludup 31 tan ayam sejuk beku dianggarkan bernilai lebih RM187,000 dari Thailand.

Dalam kejadian jam 2.20 petang kelmarin, lori kontena membawa ayam yang sudah dipotong dan diisi ke dalam 2,600 kotak ditahan ketika pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

Pengarah MAQIS Kedah, Lily Rosalind Paul berkata, pemeriksaan mendapati ayam sejuk beku itu cuba dibawa masuk tanpa mematuhi syarat import selain dipercayai dibawa dari pusat penyembelihan tidak diiktiraf serta meragukan.

“Kegagalan mengemukakan maklumat berkenaan adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya seperti dilapor Harian Metro hari ini.

Dalam pada itu, Lily berkata, MAQIS komited dalam memastikan produk pertanian dan makanan yang diimport terpelihara terutama membabitkan aspek halal.

“MAQIS tidak akan memandang mudah terhadap perkara ini dan sentiasa komited memastikan keluaran pertanian diimport bebas daripada ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar bagi memastikan sektor pertanian negara tidak terjejas,” katanya.

Terdahulu, MAQIS turut berjaya merampas 5,161 ayam sejuk beku seberat 61,832 kilogram (kg), yang dibawa masuk dari Thailand dalam pemeriksaan di Kompleks ICQS.

Daging ayam sejuk beku berkenaan juga dibawa masuk tanpa mematuhi syarat import, iaitu dipercayai datang dari pusat penyembelihan yang tidak diiktiraf dan meragukan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button