Berita UtamaIstimewa

‘Money laundering’ punca lambakan rumah mewah?

Pemaju hanya fikir untung, sedangkan tahu kediaman kos rendah, sederhana dapat permintaan tinggi

BANGI, 15 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Sikap pemaju yang mengabaikan jumlah permintaan dan sasaran bagi sektor perumahan antara punca utama berlakunya lambakan unit kediaman yang tidak terjual.

Walhal, sedia maklum permintaan yang tinggi bagi sektor perumahan adalah unit kediaman kos rendah dan sederhana, namun tidak diambil peduli oleh pemaju atas alasan pasaran tersebut tidak memberikan keuntungan yang besar.

Timbul persoalan mengapa pemaju masih terus membina unit kediaman baharu, sedangkan mengetahui permintaan terhad dan unit kediaman sedia ada yang tidak terjual masih tinggi (oversupply).

Mengulas perkara itu, Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ir Ts Lukman Al Hakim Mohamad tidak menolak kemungkinan pemaju terus membina unit kediaman mewah – walaupun banyak tidak terjual – disebabkan berlakunya ‘money laundering’ dalam industri pembinaan unit kediaman di Malaysia.

“Ini bermaksud, para pemaju membangunkan projek perumahan bukan untuk memenuhi permintaan pasaran atau membuat keuntungan, tapi sekadar ‘membersihkan dana’ yang diperolehi dari urusan perniagaan haram yang bersalahan dengan undang-undang negara.

“Justeru menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menguatkuasakan undang-undang terutamanya bagi memastikan undang-undang berkaitan ‘antimoney laundering’ turut mencakupi industri pembinaan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan, jika tiada tindakan diambil, pelbagai inisiatif dan program yang dilaksanakan oleh kerajaan akan menjadi sia-sia termasuk Dasar Perumahan Nasional 2.0 (2018-2025) dan pelbagai insentif yang diperkenalkan untuk mempromosi pemilikan rumah dalam kalangan rakyat.

“Kita harus belajar dari beberapa negara maju dunia lain contohnya Australia yang turut bergelut dengan isu yang sama.

“Sebagai contoh Credit Suisse menjangkakan pada tahun 2015, lebih AS$60 billion dana dari China yang tidak dapat dipastikan sumbernya akan masuk ke pasaran hartanah di Australia sehingga tahun 2020,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, sebanyak 57,390 unit kediaman siap dibina tidak terjual bernilai RM42.49 bilion menjadikan isu ‘overhang’ kekal sebagai masalah negara yang masih belum dapat diselesaikan secara efektif.

Pengarah Penyelidikan Rahim & Co International, Sulaiman Saheh berkata, Johor, Selangor dan Kuala Lumpur mencatatkan jumlah kediaman tidak terjual tertinggi di negara ini.

“Kediaman siap dibina tidak terjual terus meningkat pada suku ketiga 2020 kepada 57,390 unit yang terdiri daripada kediaman konvensional, pangsapuri servis dan pejabat kecil pejabat rumah (SOHO).

“Dari segi kediaman yang tidak terjual, angkanya agak besar dan ia meningkat dan bernilai melebihi RM42 bilion dalam pasaran sekarang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button