Berita Utama

PAS Melaka gesa umat Islam boikot barangan dari India

‘Setakat berhimpun tak beri kesan, kita perlu bersatu boikot barangan dari India’

BANGI, 10 Zulkaedah 1443H, Jumaat – Seluruh umat Islam di negara ini diseru memboikot barangan dari India sebagai tindak balas terhadap kenyataan dua ahli politik negara itu yang menghina Nabi Muhammad ﷺ.

Timbalan Pesuruhjaya PAS II negeri, Imran Abdul Rahman berpandangan tindakan itu wajar memandangkan individu terlibat masih berdegil enggan meminta maaf selain masih berterusan menghina Rasulullah ﷺ dan Islam.

“Tindakan Nupur Sharma dan Naveen Jindal itu tidak dapat diterima oleh umat Islam kerana kenyataan yang dibuat jelas menghina Islam keseluruhannya.

“Kalau setakat kita berhimpun dan mengutuk sekeras-kerasnya, ia tidak akan memberi kesan dan sebaiknya seluruh umat Islam di negara ini khususnya di Melaka, kita bersatu untuk memboikot barangan dari India.

“Kita seharusnya memberi tekanan kepada kerajaan India dan umat Islam sebenarnya tidak lagi boleh bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang menghina bukan sahaja Nabi Muhammad tetapi Islam itu sendiri,” katanya selepas perhimpunan aman di pekarangan Masjid Al-Azim, Ayer Keroh, hari ini.

Perhimpunan tersebut adalah anjuran Pemuda PAS Melaka bersama wakil daripada 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Muafakat Ummah Melaka, Muhammad Najib Latif melahirkan rasa kesal dengan penghinaan yang dilakukan.

“Saya menyokong penuh cadangan daripada PAS Melaka untuk memboikot barangan yang diimport dari India sebagai tindak balas terhadap kontroversi yang dibuat oleh mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Melaka, Muhammad Al Afiz Yahya berkata, tindakan menghina Nabi Muhammad ﷺ dilihat jelas cuba mencabar kedudukan Islam.

“Kenyataan dua individu itu telah mencetuskan gelombang kemarahan yang meluas di Asia Barat, selain dikutuk hebat oleh pelbagai negara sehingga Kuwait memunggah keluar produk India daripada rak jualannya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button