Pemimpin UMNO terpalit kes mahkamah bertanding PRU15?
Pertembungan dalam parti bakal akibatkan UMNO tewas sekali lagi

BANGI, 15 Jamadilakhir 1442H, Khamis – UMNO kini didakwa sedang berdepan ancaman perpecahan apabila ada sekumpulan pemimpin-pemimpin tertentu dalam parti itu tidak menyenangi dengan gaya kepimpinan Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali mendakwa, terdapat kalangan ahli melihat kepimpinan Ahmad Zahid seperti tidak konsisten dalam membulatkan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN), selain tidak mempunyai pendirian yang jitu.
UMNO juga ketika ini berdepan dengan tekanan akar umbi untuk memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), dakwa beliau.
Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman menuntut Ahmad Zahid melepaskan jawatan sebagai Presiden UMNO.
Beliau berkata, peletakan jawatan itu demi bangsa Melayu, UMNO, kesetiaan dan kegigihan 3.6 juta ahli UMNO terhadap parti berkenaan.
Katanya, kemelut pimpinan tertinggi UMNO, khususnya ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Ahli Parlimen sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan Perhimpunan Agung UMNO 2018 berlarutan tanpa penyelesaian.
Mengulas lanjut, Dr Mazlan ketika dihubungi Ismaweb.net mendakwa, perkembangan mutakhir menunjukkan Ahmad Zahid bukan setakat akan dicabar, malah terdapat dakwaan bahawa kononnya beberapa pemimpin UMNO yang mempunyai kes mahkamah tidak akan disekat daripada bertanding di PRU15 untuk memulihkan imej UMNO di mata rakyat.
“Khabar angin ini mungkin menyebabkan pemimpin-pemimpin yang mempunyai kes-kes mahkamah ini akan bertindak mengukuhkan kedudukan dalam parti, dan dengan pengaruh besar yang dimiliki, mereka mungkin dapat mempertahankan kedudukan,” dakwanya.
Beliau menegaskan, pertembungan ini akan menyebabkan UMNO hilang fokus dan bakal kehilangan sokongan rakyat.
“Perebutan kuasa dalam UMNO bakal menyebabkan UMNO tewas sekali lagi dalam pilihan raya akan datang,” dakwanya lagi.