Dunia

Lebih 113,000 terima dos pertama vaksin COVID-19 di Singapura

432 kesan sampingan dilaporkan termasuk 3 kes anafilaksis

SINGAPURA, 16 Jamadilakhir 1442H, Jumaat – Lebih 113,000 individu di Singapura menerima dos pertama vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech manakala lebih 50 individu menerima dos kedua mereka yang sekali gus menyempurnakan regimen penuh vaksinasi, setakat 27 Januari lepas.

Antara lebih 113,000 individu yang menerima vaksin itu, 432 kesan sampingan telah dilaporkan termasuk tiga kes anafilaksis yang merupakan permulaan reaksi alergi yang teruk.

“Anafilaksis adalah kesan sampingan yang diketahui namun jarang berlaku terhadap vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech,” menurut Pengarah Perkhidmatan Perubatan di Kementerian Kesihatan republik (MOH) itu, Profesor Madya Kenneth Mak dalam kenyataan hari ini.

Seperti vaksin lain, Mak berkata akan terdapat sebilangan kecil individu yang mudah mengalami reaksi alergi yang teruk semasa vaksinasi.

“Kami telah mengambil langkah berjaga-jaga seperti saringan pravaksinasi dan pemerhatian pasca-vaksinasi bagi memastikan bahawa program vaksinasi kami dapat dilaksanakan dengan selamat.

“Kesemua tiga kes anafilaksis telah menerima rawatan segera dan berada dalam keadaan baik,” katanya.

Menurut kenyataan itu, individu terbabit yang berusia dalam lingkungan 20-an dan 30-an, mengalami pelbagai gejala seperti ruam, sesak nafas, bibir bengkak, sakit tekak dan pening.

Ketiga-tiga individu mempunyai sejarah alergi termasuk rinitis alergi dan alergi makanan seperti kerang-kerangan namun tidak mempunyai sejarah anafilaksis yang akan mengecualikan mereka daripada menerima vaksin itu, katanya.

Sementara itu, kebanyakan yang lain melaporkan gejala biasa seperti bengkak serta kesakitan di tempat suntikan, demam, sakit kepala, keletihan, sakit badan, pening, rasa mual dan reaksi alergi iaitu gatal, ruam bengkak mata atau bibir.

Meskipun menjangkakan terdapat keperluan seperti ini, MOH berkata pihaknya akan memperkenalkan satu program bantuan kewangan kecederaan vaksin bagi vaksinasi COVID-19 (VIFAP) bagi menyediakan bantuan kewangan kepada mereka yang terjejas sekiranya berlaku kesan sampingan yang dinilai mempunyai kaitan dengann vaksin COVID-19 yang diberikan di Singapura. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button