Berita Utama

2021 tahun sesuai sambung pengajian pascasiswazah

Akses kepada VPN diberi kepada mereka yang terpaksa akses maklumat sulit ketika bekerja dari rumah

BANGI, 16 Jamadilakhir 1442H, Rabu – 2021 adalah tahun paling sesuai untuk menyambung pengajian ke peringkat pascasiswazah.

Pensyarah Kanan Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Mohd Syuhaidi Abu Bakar berkata, hal ini kerana masyarakat diminta bekerja dari rumah sejak setahun lalu.

Konsep berkenaan sekali gus menjadikan rata-ratanya sudah terbiasa dengan fleksibiliti dan penumpuan bersasar terhadap sesuatu perkara dalam jangka tertentu.

“Kita tidak perlu bangun seawal dua jam untuk ke tempat kerja dan mengambil masa sama untuk pulang ke rumah selepas waktu kerja.

“Justeru, lebihan empat hingga lima jam masa terluang sehari boleh dimanfaatkan untuk belajar dalam talian, pergi ke kelas untuk pengajian secara kerja kursus atau menulis tesis untuk pengajian secara penyelidikan,” katanya menulis di Berita Harian, hari ini.

Selain itu, Mohd Syuhaidi berkata, konsep bekerja dari rumah memotivasikan orang ramai untuk celik teknologi maklumat (IT) dan memberi lebih tumpuan kepada internet secara betul.

Selain mahir berkomunikasi dalam media sosial seperti WhatsApp dan Telegram, beliau berkata, orang ramai juga diperkenalkan dengan pelbagai aplikasi untuk melakukan perbincangan berkumpulan atau pengurusan projek.

Katanya, akses kepada virtual rangkaian peribadi maya (VPN) turut diberikan kepada mereka yang terpaksa mengakses maklumat sulit ketika bekerja dari rumah.

“Tentu ini nilai tambah dalam perjalanan menggenggam segulung ijazah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, konsep bekerja dari rumah mengajar masyarakat bekerja secara berdikari dengan pemantauan minimum dan ia adalah kebolehan penting dalam pengajian peringkat pascasiswazah.

Pada peringkat ini, katanya, penyelia dan pensyarah tidak mengajar pelajar bertatih, sebaliknya menantikan hujahan akademik bernas serta selaras peringkat ijazah tinggi.

Jelasnya, ia adalah standard yang perlu difahami sekiranya seseorang mahu menyambung ke peringkat sarjana atau PhD.

“Pelajar pada peringkat sarjana atau PhD juga seharusnya mempunyai pengalaman kerja yang akan membolehkannya mengutarakan idea dan hujahan bernas dalam kelas dan tesis kelak,” katanya.

Malah, katanya, sejak setahun lalu masyarakat turut diajar mengurangkan gangguan luar dan fokus kepada perkara lebih penting, di mana penumpuan berkenaan membantu kesempurnaan kerja kursus dan tesis.

Katanya, jika anak di sekolah rendah dan menengah terikat pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), ibu bapa juga boleh membuat jadual pengajian tersendiri.

“Ahli keluarga kini melihat sendiri kesukaran seseorang dalam menyempurnakan tugas dan akan lebih memahami keperluan menghormati masa ditetapkan untuk tugasan kerja kursus dan penyelidikan.

“Tanpa disedari ahli akademik di negara ini juga sedang dan sudah melalui perkara satu hingga empat seperti di atas. Rata-rata kini bekerja dari rumah dan berjaya menjimatkan masa untuk ke tempat kerja.

“Mereka juga belajar menggunakan aplikasi internet terkini untuk memudahkan kuliah syarahan dan bekerja dengan pemantauan minimum,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button