Berita Utama

PAS tangkis tohmahan tunggang agama

Dasar berasaskan Islam tak pernah berubah meski kepimpinan bertukar

BANGI, 18 Zulkaedah 1444H, Rabu – PAS tampil menangkis tohmahan berhubung parti itu menunggang agama dengan mengemukakan beberapa hujah sambil menjelaskan dasarnya berasaskan Islam dan tertera dalam Perlembagaan parti.

Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad turut mengemukakan beberapa contoh pihak atau individu yang memperalatkan agama ialah mereka yang meletakkan sesuatu perkara halal sebagai haram dan sebaliknya.

“Tunggang agama ini ialah dalam satu masa kamu boleh bercakap tentang Islam dan dalam masa yang lain pula berfoya-foya, bersalam dan menari dengan wanita. Itu dikatakan peralatkan agama.

“Atau kamu bersama ulama dan masa lain tidak di mana menyokong perjuangan lain, maka itu dikatakan peralatkan agama atau tunggang agama,” katanya dalam video dimuat naik di Facebook.

Idris menjelaskan, dasar PAS adalah berasaskan Islam dan ia jelas termaktub dalam Perlembagaan parti serta tidak pernah berubah meskipun kepimpinan bertukar.

“Soal pendekatan politik ini ialah strategi dan boleh berubah tetapi prinsip tidak pernah berubah.

“Jika strategi bertentangan dengan agama, maka kita perlu korbankannya tetapi tetap berpegang kepada prinsip agama,” katanya.

Beliau berkata, setiap dasar dalam parti dikawal oleh Majlis Syura Ulama PAS dan tidak boleh sesekali dilaksanakan secara semberono.

Katanya, walaupun Ahli Majlis Syura bukan terdiri dalam kalangan mujahid mutlak tetapi melalui kaedah bagi menentukan keputusan sama ada boleh atau tidak.

“Jika perkara itu dilihat untung daripada politik tetapi tidak daripada sudut agama, kita tinggalkan.

“Sebab itulah kalau ada yang kata PAS tunggang agama alhamdulillah, majoriti orang yang ada latar belakang agama walaupun bukan berpendidikan agama tetapi faham, mereka akan sokong perjuangan kita,” ujar beliau.

Katanya, agak mustahil sekiranya PAS menunggang agama, tetapi menerima penyertaan hampir 3,000 orang setiap bulan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button