Berita Utama

PAS, UMNO Terengganu tak mungkin bertembung: Dr Mohd Zuhdi

Realiti sebenar hubungan PAS, UMNO di dalam MN makin kukuh

KUALA TERENGGANU, 10 Syaaban 1442H, Rabu – Pertembungan di antara PAS dan UMNO di Terengganu hampir pasti tidak akan berlaku – dengan kehendak Allah SWT, sekiranya usaha memperkasakan Muafakat Nasional (MN) diteruskan, kata Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki.

Beliau berkata, pendukung PAS dan UMNO di seluruh negara tidak perlu bimbang dengan perkembangan semasa MN pada masa kini.

Beliau berkata demikian mengulas video ucapan Presiden UMNO dan Ketua Pemuda UMNO kepada jentera parti mereka di Terengganu yang tular sehingga menimbulkan keresahan kedua-dua pendukung PAS dan UMNO.

“Penularan ucapan kedua-dua pemimpin UMNO ini telah dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk mengganggu gugat hubungan kedua-dua parti di dalam MN.

“Setelah saya meneliti ucapan kedua-dua pemimpin UMNO ini, saya boleh menyimpulkan bahawa ucapan kedua-dua mereka hanyalah bersifat hipotetikal.

“Mereka hanya membuat andaian sekiranya hubungan PAS dan UMNO di dalam MN terputus di tengah jalan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), maka tidak dielakkan pertembungan antara PAS dan UMNO akan berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, Dr Mohd Zuhdi berkata, realiti sebenar adalah hubungan PAS dan UMNO di dalam MN semakin kukuh.

Malah, katanya, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sendiri sebenarnya berada di dalam ‘task force’ bersamanya serta beberapa pimpinan PAS dan UMNO lain, yang dipertanggungjawabkan untuk merancang agenda untuk memperkasa MN.

“Oleh yang demikian saya amat yakin UMNO konsisten mendukung agenda penyatuan ummah yang menjadi teras MN.

“Sehubungan dengan itu, saya menyeru seluruh pendukung PAS dan UMNO supaya terus memperkukuhkan agenda penyatuan ummah terutama ketika umat Islam berada di ambang bulan Ramadan yang akan menjelang tidak beberapa lama lagi.

“Marilah kira menjadikan masa mendatang ini untuk kita mencipta satu masa depan Islam yang gemilang untuk kesejahteraan Malaysia,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button