Berita Utama

Makin parah, 5,725 kes baharu hari ini

Angka harian tertinggi sebelum ini ialah 4,275 kes pada 23 Januari

KUALA LUMPUR, 16 Jamadilakhir 1442H, Jumaat – Buat pertama kali sejak penularan COVID-19 dikesan di negara ini, jumlah kes harian menghampiri 6,000 apabila sebanyak 5,725 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas, iaitu kes harian tertinggi setakat ini.

Angka harian tertinggi sebelum ini ialah 4,275 kes yang dilaporkan pada 23 Januari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu itu, 5,718 adalah penularan tempatan dan baki tujuh lagi merupakan kes import, membabitkan lima rakyat tempatan dan dua warga asing.

Selain itu, sebanyak 16 kematian dilaporkan dalam tempoh sama, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 733 kes, katanya menerusi akaun Twitter rasmi beliau hari ini.

“Pada masa ini terdapat 301 kes yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 115 memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Memperincikan kes kematian hari ini, Dr Noor Hisham dalam kenyataannya berkata Selangor mencatatkan sembilan kematian, dua di Sabah dan masing-masing satu di Kuala Lumpur, Sarawak, Melaka, Kelantan dan Perak.

Sebanyak 3,423 kes sembuh dicatatkan dalam tempoh sama, menjadikan angka kumulatif sembuh daripada COVID-19 berjumlah 157,722 orang, katanya.

Mengulas lanjut kes harian baharu, Dr Noor Hisham berkata Selangor masih merekodkan jumlah tertinggi dengan 3,126 kes, diikuti Kuala Lumpur 687 kes, Johor (684), Sabah (288), Sarawak (179), Terengganu (137), Kedah (125), Pulau Pinang (99), Kelantan (93), Melaka (74), Perak (73), Negeri Sembilan (69), Pahang (67), Putrajaya (16), Labuan (5) dan Perlis (3).

Katanya sebanyak 12 kluster baharu dikesan dengan 10 melibatkan tempat kerja dan baki merupakan kluster komuniti.

Kluster di tempat kerja merangkumi enam di Johor, iaitu Kluster Jalan Kota Buruk, Kluster Jalan By Pass, Kluster Jalan Bistari Dua, Kluster Jalan Empayar dan Kluster Jalan Rusa Scientex.

Baki empat lagi masing-masing dua di Kuala Lumpur iaitu Kluster Tapak Bina Jalan Klang dan Kluster Tapak Bina Jalan Vista; dan di Selangor, iaitu Kluster Persiaran Subang dan Kluster Industri Indah.

Kluster komuniti pula ialah Kluster Tinanom di Sabah dan Kluster Tabong di Sarawak.

Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kluster di negara ini sebanyak 791 dengan 375 merupakan kluster aktif, kata Dr Noor Hisham. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button