Berita Utama

‘Sense of belonging’ warga kota bantu pembangunan wilayah

Ini memandangkan banyak isu komuniti berpunca daripada mereka

KUALA LUMPUR, 16 Jamadilakhir 1442H, Jumaat – Warga Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bakal menyambut Hari Wilayah Persekutuan ke-17 pada Isnin ini, 1 Februari ketika negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam kesibukan memerangi pandemik COVID-19 dan menyesuaikan kehidupan normal baharu ini, pembangunan dan kemodenan membabitkan kemudahan infrastruktur, prasarana dan sosioekonomi masih dapat dinikmati oleh warga ketiga-tiga wilayah itu di bawah seliaan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP).

Contohnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan perancangan jangka panjang menerusi Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 dengan menetapkan visi ‘Kuala Lumpur Bandar Untuk Semua’ yang menekankan pengukuhan inklusiviti dan komuniti bandar yang saksama.

Begitu juga dengan Perbadanan Putrajaya yang menjadi bandar ikon negara untuk pusat pentadbiran kerajaan dan Perbadanan Labuan sebagai bandar bebas cukai.

Walaupun semua pihak boleh berbangga dengan pencapaian pihak pentadbir dalam membangunkan ketiga-tiga wilayah itu, namun ‘sense of belonging’ dalam kalangan warganya dilihat masih lagi jauh ketinggalan.

UBAH MENTALITI

Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Parlimen Batu, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata pembangunan dalam memastikan keselesaan penduduk tidak hanya terletak sepenuhnya kepada pihak pentadbir sahaja, kerjasama warga kota sebagai penerima manfaat juga amat penting bagi menjayakan sebarang agenda pembangunan.

“Ramai yang tidak berani tampil ke hadapan menyumbang idea kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam sebarang projek pembangunan kerana berpendapat ia tiada kaitan dengan mereka.

“‘Sudah terhantuk baru tergandah’. Apabila sesuatu perkara yang menjejaskan kehidupan mereka berlaku, maka bermulalah episod saling menunding jari terhadap satu sama lain dan mendakwa PBT tidak prihatin terhadap isu rakyat,” katanya kepada Bernama.

Sering kali PBT dilabelkan sebagai agensi yang tidak cekap dalam berkhidmat kepada penduduk, khususnya melibatkan kemudahan infrastruktur seperti pembaikian jalan berlubang, banjir kilat, kebersihan dan pelbagai lagi isu komuniti.

“Mentaliti masyarakat terhadap ‘sense of belonging’ masih lagi perlu dipertingkatkan, memandangkan kebanyakan isu komuniti seperti kebersihan setempat, kerosakan kemudahan infrastruktur dan bencana alam seperti banjir kilat adalah berpunca daripada tingkah laku mereka sendiri.

“Apabila berdepan dengan vandalisme, kebersihan, jalan berlubang ataupun longkang tersumbat, mereka terus menyalahkan wakil rakyat ataupun PBT tidak menjalani tanggungjawab masing-masing ataupun terus me’viral’kannya dalam media sosial.

“Namun, sedar ataupun tidak bahawa memainkan peranan sebagai seorang warga kota yang bertanggungjawab juga sebahagian daripada sumbangan pembangunan bandar dan menjayakan inisiatif kerajaan bagi mewujudkan persekitaran selesa kepada kita semua,” katanya.

Ujar Gulam, sikap segelintir masyarakat bahawa PBT perlu berkhidmat kepada mereka atas dasar pembayar cukai haruslah dikikiskan.

“Jika tidak mampu menyumbang idea sekali pun, kesedaran sivik seperti tidak membuang sampah merata, hentikan vandalisme, tidak meludah serta menjaga kemudahan infrastruktur ibarat harta sendiri pun sudah memadai.

“Boleh dikatakan hampir kesemua isu komuniti seperti aspek kebersihan dan kemudahan infrastruktur juga berpunca daripada mereka sendiri, kenapa nak salahkan PBT sedangkan masalah itu berpunca daripada diri kita sendiri?” katanya.

SUMBANGAN AWAM

Sementara itu, penyelidik kanan Institute of Strategic Analysis and Policy (INSAP) Dr Noor Hashimah Hashim Lim, penglibatan awam dalam proses perancangan bandar sangat penting kerana segala pelan yang digubal adalah untuk kepentingan dan kesejahteraan warganya.

Namun, kuasa bagi menentukan dasar dan membuat keputusan itu masih tertakluk dalam PBT dan kerajaan pusat.

“Proses penglibatan orang ramai – dalam bentuk Focus Group Discussion (FGD) dan pengumuman melalui media massa, telah lama dilakukan untuk membantu PBT membentuk rancangan pembangunan termasuk Rancangan Tempatan Daerah (JPJ) dan Rancangan Kawasan Khas (RKK).

“Walaupun penduduk diberitahu untuk menyumbang idea terhadap sebarang perancangan dan pelan pembangunan, namun keputusan tertakluk kepada pentadbir peringkat negeri dan pusat untuk menentukan dengan mengambil kira nasihat pakar dan penduduk,” katanya.

Katanya, pentadbir PBT peringkat dasar dan wakil rakyat seharusnya menggunakan kekuatan ‘keakraban’ mereka dengan penduduk setempat untuk merancang sebarang pembangunan di kawasan mereka.

“Gesaan ide bagi pemerintahan yang desentralisasi, di mana pemberdayaan pihak berkuasa tempatan memberi mereka peluang untuk memanfaatkan kelebihan daya saing dari daerah mereka sendiri dengan lebih baik dan menggerakkan sumber daya yang khusus untuk kemampuan fizikal, ekonomi, budaya dan politik mereka sendiri, dan menangani masalah kritis yang berterusan di kawasan mereka dengan lebih cekap dan tepat pada masanya.

“Saya percaya ini akan membantu kerajaan kita untuk memberikan perkhidmatan awam yang lebih baik dan secara tidak langsung meningkatkan keberkesanan dan responsif institusi terhadap masalah yang khusus di kawasan mereka sehingga memenuhi harapan pembayar cukai terhadap persekitaran tempat mereka tinggal,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button