Berita Utama

Situasi terkawal! Hospital Segamat operasi seperti biasa

Pantau kuat kuasa PPE, pematuhan amalan norma baharu dalam kakitangan

BANGI, 16 Jamadilakhir 1442H, Jumaat – Perkhidmatan kepakaran dan rawatan di Hospital Segamat masih beroperasi seperti biasa. 

Selain itu, penularan wabak COVID-19 dalam kalangan Health Care Workers (HCW) adalah masih terkawal, kata Pengarah Hospital Segamat, Dr Azhar Mohd Sali. 

Beliau berkata demikian merujuk laporan sebuah akhbar dan mesej tular berkaitan penularan jangkitan COVID-19 di hospital berkenaan. 

“Sebagai makluman, pihak hospital telah mengambil langkah-langkah yang proaktif sejak dari awal penularan pandemik COVID-19 iaitu dengan mengawal pergerakan kakitangan dalam kawasan hospital dari unit ke unit. 

“Setiap pergerakan juga perlu direkodkan melalui imbasan QR Code bagi memudahkan pengesanan kontak dalam kalangan kakitangan di hospital,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Beliau berkata, pemantauan penguatkuasaan pemakaian PPE seperti ‘face mask’ dan ‘face shield’ serta pematuhan terhadap amalan norma baharu juga sentiasa dibuat bagi memastikan semua kakitangan mematuhi arahan yang ditetapkan. 

Katanya, latihan berkaitan kawalan infeksi juga sentiasa diberikan dari semasa ke semasa termasuk kepada kakitangan sokongan klinikal dan bukan klinikal mengikut kaedah norma baharu bagi memastikan kakitangan sentiasa bersedia dalam apa keadaan. 

“Selain itu, pelaksanaan mobilisasi staf dalam kalangan jabatan di hospital ini juga telah dibuat mengikut perancangan bagi memastikan perkhidmatan kesihatan di daerah ini tidak terganggu jika terdapat anggota HCW yang dijangkiti COVID-19 atau sekiranya pihak hospital perlu merawat pesakit COVID-19. 

“Sebagai tambahan kepada langkah-langkah dalam mengawal risiko penularan kepada HCW melalui komuniti, waktu melawat juga tidak lagi dibenarkan untuk pesakit-pesakit yang berada di wad sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac 2020,” katanya. 

Oleh itu, pihak hospital amat mengharapkan kerjasama daripada orang ramai supaya sentiasa mematuhi arahan dan garis panduan yang ditetapkan iaitu mengamalkan norma baharu seperti memakai pelitup muka, penjarakan fizikal dan kerap mencuci tangan dengan air sabun atau ‘hand sanitizer’, kata Dr Azhar. 

“Marilah kita sama-sama berdoa agar wabak COVID-19 ini segera berakhir dan patuhilah setiap arahan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan dari semasa ke semasa supaya penularan wabak ini dapat dihentikan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button