Berita Utama

48 Petugas HSNZ positif, Jabatan Kecemasan & Trauma ditutup sementara

Siasatan dijalankan, kontak rapat kes telah disaring dan diasingkan

KUALA TERENGGANU, 17 Jamadilakhir 1442H, Sabtu – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu mengesahkan seramai 48 petugas kesihatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, dijangkiti COVID-19.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, kesemua petugas berkenaan telah diasingkan dan diberi rawatan.

Beliau berkata, siasatan untuk mengenal pasti punca jangkitan sedang dijalankan dan kontak rapat kes juga telah disaring dan diasingkan.

“Pengurusan rawatan pesakit di HSNZ masih diteruskan dan berada dalam keadaan terkawal. Perkhidmatan Unit Rawatan Rapi (ICU), dewan bedah dan kecemasan juga masih berjalan.

“Namun, bagi mengurangkan gangguan pada perkhidmatan sedia ada, rawatan kes-kes ringan di Jabatan Kecemasan & Trauma telah ditutup sementara bermula semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, jabatan menasihatkan orang awam yang ingin mendapatkan rawatan bagi kes-kes ringan (Green Zone) untuk datang ke Jabatan Pesakit Luar HSNZ atau ke klinik kesihatan berdekatan.

Dr Nor Azimi berkata, orang awam juga diminta untuk tidak menularkan sebarang berita tidak sahih supaya tidak mencetuskan kebimbangan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Jabatan akan sentiasa memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan dalam kalangan petugas kesihatan dan pesakit di kawasan hospital,” katanya.

Semalam, maklumat mengenai penularan COVID-19 dalam kalangan petugas HSNZ tular di media sosial terutama aplikasi WhatsApp dan ia menarik perhatian orang ramai yang melahirkan kebimbangan mengenai tahap perkhidmatan di hospital tersebut. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button