Berita Utama

Berpada-pada! Kerjasama Dong Zong-OUM mesti selari Akta Pendidikan

Bendung segera pembangunan bahasa Mandarin yang tersasar taraf vernakular

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 17 Jamadilakhir 1442H, Sabtu – Meskipun jalinan kerjasama pertubuhan pendidikan radikal Cina, Dong Zong dengan Open University Malaysia (OUM) untuk membangunkan profesionalisme guru munasabah, namun usaha itu perlu selari dengan Akta Pendidikan 1996.

Terdahulu, portal berita berbahasa Cina, Kwong Wah melaporkan, Dong Zong kini bekerjasama dengan OUM untuk menjadikan bahasa Mandarin dan Inggeris sebagai bahasa pengantar.

Tindakan itu untuk membolehkan guru bukan Cina yang berkhidmat di Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan guru yang tidak mahir berbahasa Cina menerima latihan pendidikan profesional.

Difahamkan bahawa kursus pendidikan profesional ini adalah untuk meningkatkan kebolehan guru SMPC secara keseluruhan.

Katanya, Diploma Lepasan Ijazah dalam Pengajaran (PGDT) adalah kursus kelayakan profesional selama satu tahun yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk guru yang mendapat tawaran daripada OUM.

Kursus ini dirancang untuk pendidik yang belum memperoleh kelayakan pengajaran yang diiktiraf MQA dan ingin melanjutkan pendidikan dan latihan guru yang lebih profesional.

Mengulas perkara itu, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong mengingatkan bahawa dalam membangunkan bahasa lain di negara ini, hendaklah dipastikan tidak sesekali mengatasi pembangunan bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara.

“Dalam kes bahasa Mandarin ini, rakyat Malaysia, khususnya etnik Cina hendaklah sentiasa ingat bahawa ianya vernakular sahaja di negara ini, walaupun ia bahasa besar dunia selain bahasa negara di China.

“Dengan ini, pembangunannya hendaklah berpada-pada sahaja di Malaysia berdasarkan tarafnya sebagai hanya vernakular,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Dalam pada itu, beliau menggesa sebarang pembangunan bahasa Mandarin di Malaysia yang didapati tersasar daripada taraf rasminya sebagai vernakular dalam Dasar Bahasa segera dibendung.

Tindakan sewajarnya juga perlu diambil supaya ia tidak berkembang di luar kerangkanya sebagai bahasa sukuan etnik Cina sahaja, walaupun diminati etnik lain.

Dalam Dasar Bahasa, bahasa Mandarin adalah vernakular, yakni bahasa sukuan bagi etnik Cina. Oleh itu, secara teorinya, ia digunakan dalam ranah keluarga dan komuniti itu sahaja.

Namun di Malaysia, ia ikut berperanan di peringkat negara apabila dibenarkan untuk digunakan sebagai bahasa pengantar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button