Berita Utama

Jika tiada langkah drastik, 8,000 kes harian mungkin berlaku lebih awal

Bakal beri tekanan kepada kemudahan dana kakitangan kesihatan

KUALA LUMPUR, 17 Jamadilakhir 1442H, Sabtu – Pakar tidak menolak kemungkinan kes harian COVID-19 yang dijangka mencecah 8,000 pada Mac depan, boleh berlaku lebih awal.

Pakar Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM Profesor Madya Dr Malina Osman menjangkakan perkara itu berlaku jika langkah drastik tidak dilaksanakan.

“Maksudnya, kalau kita lihat pada awal dahulu, angka 8,000 pada pertengahan Mac.

“Namun, jika keadaan ini berterusan dengan angka 5,000, dan langkah drastik di peringkat individu masyarakat tidak dipedulikan, jadi tidak mustahil angka itu akan terus meningkat pada kadar lebih awal,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Mengulas lanjut, Dr Malina berkata, sekiranya jumlah jangkitan harian terus merekodkan lebih 5,000 kes, ia juga bakal memberi tekanan kepada kemudahan dana kakitangan kesihatan.

Katanya, petugas barisan hadapan terutamanya anggota kakitangan kesihatan yang mengendalikan pesakit-pesakit turut berdepan dengan peningkatan kritikal jangkitan wabak itu

“Kita kena faham bahawa apabila seseorang itu mendapat gejala, kita tidak pasti siapa di kalangan mereka ini akan mempunyai gejala yang teruk.

“Malah, perkembangan ini biasanya berlaku dalam keadaan yang cepat. Jika terlalu ramai yang mendapat komplikasi yang teruk dalam satu masa.

“Jadi, sukar untuk pihak hospital dan mereka yang mengendalikan pesakit untuk mendapatkan rawatan sebaik-baiknya,” katanya.

Semalam, negara merekodkan 5,725 kes baharu COVID-19, menjadikan ia jumlah kes baharu tertinggi pernah dicatatkan setakat ini.

Dengan jumlah itu juga menjadikan jumlah keseluruhan kes baharu COVID-19 melepasi angka 200,000 dengan 203,933 kes dengan jumlah kes aktif sebanyak 45,478.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button