Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Dunia

Situasi makin baik, Thailand longgar sekatan

Samut Sakhon akan kekal sebagai ‘kawasan kawalan maksimum dan ketat’

BANGKOK, 17 Jamadilakhir 1442H, Sabtu – Thailand akan melonggarkan sekatan dan peraturan di wilayah-wilayah yang situasi pandemik COVID-19 semakin terkawal bermula 1 Februari ini.

Bagaimanapun, Samut Sakhon, pusat penularan terbaharu sejak pertengahan Disember akan kekal sebagai ‘kawasan kawalan maksimum dan ketat’ dengan semua sekatan kekal di wilayah itu.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin berkata, semua institusi pendidikan, pusat hiburan, venue sukan dan premis perjudian di Samut Sakhon akan kekal ditutup sehingga dimaklumkan kelak.

Beliau berkata, mesyuarat agung CCSA yang dipengerusikan Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha semalam, bersetuju bahawa semua institusi pendidikan di Bangkok dan 26 wilayah akan dibuka semula pada 1 Februari, selepas diarahkan tutup sejak 4 Janusri.

Bilangan pelajar dihadkan kepada 25 orang sahaja bagi kawasan sangat terkawal seperti Bangkok, Nonthaburi, Pathum Thani dan Samut Prakan, kata beliau.

Pusat hiburan termasuk pub, bar dan karaoke akan kekal ditutup di kawasan-kawasan sangat terkawal manakala waktu operasi restoran di wilayah berkenaan dilanjutkan hingga 11 malam,” katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini hari ini.

Bagi wilayah lain, Thaweeslip berkata, sekatan dan pembukaan semula perniagaan termasuk restoran, pusat hiburan dan venue sukan berbeza-beza mengikut keadaan COVID-19 di kawasan terbabit.

Menurut beliau, lima kategori zon kawalan penyakit dilaksanakan di wilayah terbabit – kawalan maksimum dan ketat; sangat terkawal; terkawal; pengawasan maksimum dan pengawasan – bagi membendung penularan COVID-19 secara berkesan.

Dalam tempoh 24 jam, Thailand mencatatkan 802 kes baharu COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 17,023 kes manakala kes kematian pula kekal 76.

Thaweesilp berkata, daripada 802 kes baharu itu, sebanyak 781 membabitkan penularan tempatan dan 21 kes import.

Bagi kes penularan tempatan itu, 692 kes adalah daripada pengesanan kes aktif dengan 686 kes di Samut Sakhon, tiga di Bangkok dan masing-masing satu di Nonthaburi, Sa Kaew dan Rayong manakala 89 kes pesakit sedang dirawat di hospital.

Penularan terbaharu di Samut Sakhon pada pertengahan Disember lepas mencatatkan 12,796 kes dan 16 kematian setakat ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button