Berita Utama

Sungai Semungkis Hulu Langat tercemar? Mohon pihak berkuasa siasat

Air sungai keruh, ada aktiviti tarah bukit, tebang pokok

BANGI, 17 Jamadilakhir 1442H, Sabtu – Sungai Semungkis Batu 14 Hulu Langat didakwa tercemar susulan aktiviti menarah bukit serta penebangan pokok di kawasan rekreasi perkelahan itu.

Perkara itu didedahkan Naib Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam Malaysia (PEMBELA), Ustaz Masrizi Sat selepas meninjau kawasan berkenaan, semalam.

Serentak itu, beliau menggesa pihak berkuasa menyiasat dan memberi penjelasan berhubung pencemaran yang berlaku.

“Kami juga dimaklumkan bahawa hutan simpan Selangor ini ada yang dah dapat geran dan boleh pajak pula 90 ekar.

“Sedangkan penduduk berhampiran yang meneroka tempat ini dulu telah diarahkan keluar oleh pihak berkuasa kerajaan negeri Selangor. Sesuatu yang pelik sedang berlaku di sini.

“Justeru mohon pihak berkuasa menyiasat dan memberi penjelasan berkaitan kes ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Pada masa sama, beliau memaklumkan bahawa langkah awal laporan polis dari penduduk tempatan telah dibuat dan Ketua Balai Polis Batu 14 Hulu Langat memberi kerjasama yang baik.

“Langkah seterusnya mohon pihak-pihak dan agensi-agensi yang berkaitan seperti kerajaan Selangor, Menteri Besar, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Perhutanan dan lain-lain dapat membuat tindakan yang seterusnya.

“Mohon netizen sama-sama viralkan. Selamatkan hutan simpan kita. Cukup-cukuplah apa yang telah berlaku di Pahang dan Perak.

“Jangan di Selangor pula hutan yang dah tinggal sedikit, diteroka pula dengan cara begini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button