Berita Utama

Syor tukar kaedah saringan COVID-19 elak data tertunggak

Kelonggaran bagi sektor ekonomi berfungsi perlu disemak semula

KUALA LUMPUR, 17 Jamadilakhir 1442H, Sabtu – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan agensi berkaitan disaran menyusun semula pendekatan menangani pandemik COVID-19.

Pakar virologi dari Universiti Malaya (UM), Prof Sazaly Abu Bakar berkata, perkara berkenaan penting disebabkan usaha pembendungan wabak ketika ini mencerminkan siri kegagalan yang berpunca daripada beberapa faktor.

Beliau berkata, sekiranya tiada perubahan drastik terhadap strategi kesihatan awam, langkah melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah sia-sia.

Justeru, beliau mengesyorkan supaya menukar kaedah saringan berikutan kes melambung pada semalam, disebabkan wujud data ‘backlog’ atau tertunggak menjangkau 10 hari.

“Masalah ini sudah pasti berpunca daripada kaedah saringan yang masih bersandarkan Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR).

“RT-PCR memerlukan tempoh lama untuk keputusan diperoleh, berbanding kit ujian pantas (RTK) antigen, sekali gus menyumbang kepada timbunan data.

“Sekiranya ini terus berlaku, kita tidak dapat merangka strategi kesihatan awam dengan tepat kerana wujud kepincangan maklumat pada peringkat dasar,” katanya.

Semalam, negara merekodkan 5,725 kes baharu COVID-19, menjadikan ia jumlah kes baharu tertinggi pernah dicatatkan setakat ini.

Berdasarkan pecahan kes, Selangor menjadi penyumbang utama dengan 3,126 kes daripada keseluruhan individu positif.

Mengulas perkara itu, Prof Sazaly berkata, kelonggaran sektor ekonomi perlu disemak semula bagi mengelakkan peningkatan kes COVID-19.

Jelasnya, sektor ekonomi seperti perkilangan, pembuatan dan pembinaan yang bergantung kepada tenaga buruh asing menjadi penyumbang utama COVID-19, namun tetap dibenarkan beroperasi.

“Apabila mereka ini habis kerja dan kembali ke komuniti, sudah pasti penularan berlaku dengan pantas dan kita selama-lamanya kekal berada di takuk lama tanpa sebarang penyelesaian menyeluruh.

“Jadi, teliti semula supaya sektor ekonomi seperti warung terbuka, kedai gunting rambut dan lain-lain yang tidak menyumbang kepada penularan COVID-19, dibenarkan beroperasi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button