Kawal kos sara hidup harapan rakyat bergaji minimum
Ambil tindakan peniaga, pihak sengaja naikkan harga barang asas
BANGI, 18 Jamadilakhir 1442H, Ahad – Bukan minta harga telefon bimbit dikurangkan, cuma rakyat yang berpendapatan minimum dengan gaji RM1,200 mahu harga barangan keperluan asas harian seperti ayam, beras, telur serta minyak tidak melambung tinggi.
Apatah lagi, dalam keadaan negara dan dunia yang sedang berdepan ujian pandemik COVID-19, ia lebih memberi kesan kepada rakyat yang bergaji kecil ini, kata Ketua Angkatan Pemuda Pemudi BERJASA (ANGKASA), Hazwan Mohamad.
Beliau berkata, tekanan mungkin dapat dikurangkan sedikit sekiranya gaji minimum RM1,200 tetapi kos sara hidup dapat dikawal dengan baik.
“Lama dah bercakap soal ini, sekarang bila seluruh negara dan dunia menghadapi ujian yang cukup besar ini, lagilah mendatangkan kesan kepada rakyat yang bergaji kecil.
“Bagi bantuan, bagi ‘cash’ tetapi harga barangan asas tidak dapat dikawal. Apa yang berlaku sebenarnya?,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Serentak itu, Hazwan menggesa kerajaan mengambil tindakan terhadap peniaga atau pihak yang sengaja menaikkan harga barang.
Beliau turut menuntut tindakan dan penguatkuasaan berjalan dengan lebih agresif untuk melindungi rakyat, khususnya yang bergaji rendah.
“Isu harga barang mentah naik juga saya kira sedikit kompleks. Ada banyak pihak yang terlibat. Dengan orang tengahnya, monopoli dan juga peningkatan kos pertanian.
“Semua ini perlu ada satu punca kuasa yang amat kukuh untuk menangani isu dengan berkesan sehingga ke akarnya bukan hanya sekadar di permukaan semata. Ia tidak akan menyelesaikan masalah sebenar,” katanya.