Tempoh darurat peluang besar perkasa undang-undang syariah ‘tanpa halangan’
Agong boleh kuat kuasa ordinan selama mana Parlimen tidak bersidang

BANGI, 18 Jamadilakhir 1442H, Ahad – Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, tempoh darurat ketika ini adalah peluang terbaik untuk membuat ordinan berkaitan hukum syarak tanpa perlu dibentangkan di Parlimen.
Beliau berkata, undang-undang baharu yang dibuat boleh terus dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Katanya, ini adalah masanya untuk perundangan Islam seperti Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) digubal tanpa perlu melalui Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
“Zaman darurat ini adalah peluang untuk kita membuat ordinan kerana tidak perlu pergi ke Parlimen. Jadi saya rayu, identify ordinan mana yang perlu dibuat secepat mungkin, undang-undang syariah, Akta 355 dan sebagainya.
“Inilah masanya. Bila habis darurat esok, itu cerita lain. Kita sekarang tak perlu banyak menjadi defensif, kita jadi sedikit ofensif. Darurat ini adalah ‘blessing in disguise’,” katanya dalam Webinar NGO Islam 2021 ‘Memahami Isu Darurat dan Masa Depan Gerakan Dakwah’ yang dianjurkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
Dalam tempoh proklamasi darurat, Yang di-Pertuan Agong boleh memasyhurkan undang-undang, yang dinamakan ordinan, sekiranya berpuas hati dengan hal atau keadaan tertentu menyebabkan perlu bagi Seri Paduka mengambil tindakan serta-merta.
Perkara 150 (2B) Perlembagaan Persekutuan menjelaskan, jika pada bila-bila masa semasa suatu Proklamasi Darurat sedang berkuat kuasa, kecuali apabila kedua-dua Majlis Parlimen sedang bersidang serentak, Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa ada hal-hal keadaan tertentu yang menyebabkan perlu baginya mengambil tindakan serta-merta, maka Yang di-Pertuan Agong boleh memasyhurkan apa-apa ordinan sebagaimana yang didapatinya perlu mengikut hal keadaan.
Perkara 150 (2C) pula menjelaskan, sesuatu ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) hendaklah mempunyai kuat kuasa dan kesan yang sama sebagaimana Akta Parlimen, dan hendaklah terus berkuat kuasa dan berkesan sepenuhnya seolah-olah ordinan itu ialah Akta Parlimen sehingga ordinan itu dibatalkan atau diungkaikan di bawah Fasal (3) atau sehingga ordinan itu luput di bawah Fasal (7); dan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memasyhurkan ordinan di bawah Fasal (2B) boleh dijalankan berhubung dengan apa-apa perkara mengenainya Parlimen berkuasa membuat undang-undang, tanpa menghiraukan tatacara perundangan atau tatacara lain yang dikehendaki diikuti, atau perkadaran jumlah undi yang dikehendaki diperoleh di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen.