Dunia

Bangladesh pindah kumpulan ke-4 pelarian Rohingya ke pulau terpencil

1,463 pelarian dipindahkan dari Cox's Bazar ke pulau Bhasan Char pada Sabtu

DHAKA, 18 Jamadilakhir 1442H, Ahad – Di tengah penentangan dan kebimbangan masyarakat antarabangsa serta hak asasi manusia, Bangladesh pada Sabtu meneruskan pemindahan kumpulan keempat pelarian Rohingya ke pulau terpencil. 

Menurut sumber rasmi, 1,463 pelarian Rohingya di sempadan Bangladesh dipindahkan ke pulau Bhasan Char dengan kapal tentera laut dari pelabuhan utama Chattogram.

Pengarah projek penempatan semula Rohingya, Abdullah Al Mamun Chowdhury berkata, semua rumah konkrit siap sepenuhnya untuk menempatkan kedatangan kumpulan baharu itu.

“Sebenarnya, kita sedia menempatkan 100,000 Rohingya di rumah kelompok di pulau itu berdasarkan inisiatif kerajaan,” katanya. 

Dengan pemindahan kumpulan keempat itu, jumlah pelarian di pulau berkenaan sekitar 7,000 – termasuk 5,224 dari tiga kumpulan sebelumnya dan 306 Rohingya yang terkandas dan diselamatkan Angkatan Laut Bangladesh kira-kira lapan bulan lalu. 

Kerajaan Bangladesh membelanjakan lebih AS$350 juta (RM1.4 bilion) untuk membina 1,400 rumah kelompok besar dengan blok konkrit, bersama 120 tempat perlindungan ribut bertingkat di pulau itu untuk memindahkan 100,000 pelarian Rohingya dari kem utama di Cox’s Bazar. 

Pihak berkuasa Bangladesh mempertahankan langkah itu, dengan mendakwa untuk memastikan keadaan hidup pelarian Rohingya lebih baik daripada berada di kem yang penuh sesak di sempadan negara itu.

Penempatan pelarian terbesar di dunia – yang juga pusat pelancongan utama Bangladesh – Cox’s Bazar kini menampun lebih 1.1 juta pelarian Rohingya yang kebanyakannya melarikan diri daripada tindakan keras tentera Myanmar pada Ogos 2017, di Rakhine. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button