Berita Utama

Hutan dara Taman Negeri Endau Rompin digondol?

Apakah status HSK hanya tinggal atas kertas sedang di lapangan jadi padang jarak

BANGI, 18 Jamadilakhir 1442H, Ahad – Belum selesai isu pencerobohan tanah di Raub dan beberapa kawasan lain di negeri Pahang, muncul pula pendedahan mengenai kemusnahan hutan dara di Taman Negeri Endau Rompin.

Menurut hantaran dimuat naik aktivis alam sekitar, Khaidir Ahmad memaparkan gambar kemusnahan teruk hutan dara yang didakwa dikongsikan oleh seorang pemilik Facebook, Muhammad Taufan.

Khaidir mendakwa, Pahang mempunyai berjuta hektar Hutan Simpan Kekal (HSK) tidak termasuk Taman Negeri, dan kegiatan penggondolan menerusi kaedah pembalakan menjadi lumrah di negeri itu sejak beberapa tahun lalu.

Ini termasuk yang terbaharu di hutan simpan Lakum di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lanchang, dakwanya.

“Namun, penggondolan hutan dara di kawasan Taman Negeri adalah sesuatu yang sangat mengejutkan bagi ‘wartawan tua’ dan juga beruk-beruk di hutan.

“Apakah sebenarnya yang sudah berlaku di negeri jelapang kekayaan alam dan hasil bumi di Tanah Melayu ini?,” soalnya.

Atas sebab itu, beliau mempersoalkan di mana sistem pengurusan hutan mapan yang diuar-uarkan sebelum ini.

“Adakah angka-angka keluasan dan status HSK cuma tinggal di atas kertas sedangkan di lapangan realitinya adalah padang jarak padang terkukur?

“Dimanakah kebijaksanaan pemimpin dan pentadbir dalam pengurusan sumber kekayaan alam semula jadi dan ekonomi negeri Pahang?,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button