Pendapat

Jawatan adalah amanah dari Allah SWT

Sentiasa akrabkan diri denganNya, pastikan amal fardu asas terjaga

SAYA tertarik untuk menasihatkan para pimpinan muda akan beberapa perkara, juga sebagai peringatan untuk diri saya sendiri:

1) Jawatan adalah amanah dari Allah SWT walaupun yang melantik anda adalah manusia melalui sistem ciptaan manusia (yang penuh kelemahan)

2) Sentiasa akrabkan diri dengan-Nya. Terkadang mesyuarat tidak menyelesaikan masalah, tapi aduan dan tangisan anda setiap pagi itulah solusi. Pastikan amal fardu yang asas juga terjaga. Anda harus yakin faktor inilah sebagai tunjang kejayaan organisasi

3) Manusia adalah aset terbesar organisasi, bukan dana atau infrastruktur. Bentuk pasukan yang terbaik berdasarkan potensi ahli. Tautkan ukhuwah. Pautkan kepercayaan (trust). Berikan 40% masa anda membangunkan serta melatih ahli pasukan bekerja di medan

4) Jawatan bukan kepimpinan. Ahli memberi anda jawatan. Tapi andalah yang seharusnya memberi kembali mereka makna sebenar kepimpinan yang mereka perlukan. Asas kepimpinan ialah amanah dan kuat.

5) Kuat itu perlu anda bina secara proaktif dan terancang termasuk kekuatan ilmu, ketinggian akhlak, kemahiran berfikir, mengurus, mempengaruhi, personaliti dan keterampilan. Fasa ke hadapan para pimpinan NGO Islam juga perlu kuat dalam aspek teknologi digital. Letakkan 40% masa anda untuk pembangunan potensi diri melalui pembacaan, latihan, pemerhatian, diskusi dan kembara

6) Kekuatan paling penting dan ampuh ialah kekuatan emosi. Ia juga berkait rapat dengan pengurusan hidup peribadi, kerjaya dan keluarga. Saya telah perhatikan ramai yang kecundang dalam aspek ini. Semoga anda berwaspada dan sentiasa bersedia

7) Pimpin perubahan dengan mudah (simplicity) tapi mencapai makna dan objektif. Jangan tertipu dengan istilah, ‘rule of the game’ musuh, adat kebiasaan dan ketaatan membuta tuli. Selongkar dan fahami maksud setiap strategi terdahulu. Fikir habis baik untuk penambahbaikan.

8) Kunci kepada setiap inisiatif baharu atau penambahbaikan sistem sedia ada ialah budaya kerja. Manusia sebagai aset utama, budaya kerja pula ialah ibarat makanan yang menggerak dan melincirkan operasi mereka. Bina budaya kerja berasaskan nilai (value-based), bukan berasaskan ketaatan ketua (leader-based) atau polisi (policy based) semata-mata

9) Kepimpinan adalah seni. Anda boleh mempunyai idola yang disanjungi tapi jangan sampai dibayangi. Ingat setiap manusia Allah SWT ciptakan unik dengan cabaran yang berbeza. Bina legenda tersendiri.

10) Tiada siapa yang boleh menasihati anda secara tepat dos yang diperlukan antara keras dalam disiplin vs lembut dalam pendekatan, gerak kerja organik (natural) vs procedur robotik (regimented) atau memusatkan kuasa (controlling) vs pemberdayaan (empowerment). Semua ini seni yang anda perlu lalui sendiri, jatuh, bangun lagi dan terus berlari

Semoga Allah SWT bantu dan berikan taufiq dan hidayah-Nya untuk kalian memimpin!

Ir. Ts. Lukman Al Hakim

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button