Berita UtamaIstimewa

Kerajaan Persekutuan didesak campur tangan isu tanah rizab di Perak

Segera dakwa dalang lulus pertukaran status tanah kepada bukan Melayu

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 18 Jamadilakhir 1442H, Ahad – Kerajaan Persekutuan didesak untuk campur tangan dalam isu penyelewengan Tanah Rizab Melayu berkeluasan 641.6 hektar di Sitiawan, Perak yang didakwa sudah berpindah milik kepada bukan Melayu, akibat penyelewengan sindiket didakwa didalangi pegawai kerajaan. 

Naib Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA), Mohd Nor Izzat Johari berkata, kerajaan perlu memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa terdapat salah laku dalam pentadbiran Tanah Rizab Melayu di negeri-negeri seperti di Perak.

“Satu tindakan tegas wajar dikenakan kepada dalang atau lebih tepat lagi pengkhianat Tanah Rizab Melayu, sama ada melucutkan kerakyatan atau penjara seumur hidup,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, seluas 641.6 hektar Tanah Rizab Melayu di mukim Sitiawan, Daerah Manjung, Perak didakwa bertukar milik kepada orang Cina sejak tahun 2005.

Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman berkata, tanah tersebut dipecah kepada 317 lot dengan 100 peratus dimiliki orang bukan Melayu dan kini menjadi ladang kelapa sawit.

Beliau menegaskan, pindah milik terhadap tanah yang asalnya digazetkan sebagai Rizab Tanah Melayu pada 7 Januari 1930 itu bercanggah dengan enakmen dan Akta Kanun Tanah Negara 1965.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak memaklumkan bahawa mereka sudah menerima laporan tersebut daripada polis, dan kini sedang mengarahkan pasukan siasatannya meneliti serta menyiasat kes tersebut.

Dalam pada itu, Mohd Nor Izzat mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada pihak SPRM kerana bertindak untuk menyiasat isu penyelewengan ini.

“SPRM mestilah menyegerakan siasatan dan pendakwaan kepada dalang yang telah meluluskan pertukaran status Tanah Rizab Melayu. Jika tidak, SPRM hanya melakukan kerja yang sia-sia,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button