Berita Utama

LGBT: Tiba masa Akta 355 dipinda kukuhkan perundangan Islam

Wajar beri variasi kepada jenis hukuman termasuk mendidik

BANGI, 18 Jamadilakhir 1442H, Ahad – Peningkatan hukuman kepada kesalahan berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan jenayah Syariah perlu dilakukan, bukan sahaja menaikkan kadar hukuman denda, penjara atau sebatan tetapi juga memberi variasi kepada jenis hukuman berkenaan. 

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, jenis hukuman boleh diperluaskan seperti berbentuk restoratif, hukuman mendidik jiwa dan khidmat masyarakat. 

Beliau berkata, disebabkan kebanyakan kesalahan jenayah Syarih adalah kesalahan yang ‘tidak mempunyai mangsa’, maka sangat wajar hukuman alternatif dipertimbangkan. 

“Hal itu tidak dapat dilakukan selagi Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)1965 (Akta 355) tidak dipinda. 

“Sudah sampai masanya akta berkenaan dipinda bagi mengukuhkan lagi perundangan Islam dan tidak disekat melalui akta tersebut,” katanya dalam Sinar Harian, hari ini. 

Bagaimanapun, Zainul Rijal berkata, negara kini diisytiharkan darurat dan Parlimen digantung menurut Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, yang bermakna tidak boleh bersidang untuk membuat undang-undang. 

Namun, katanya, Yang di-Pertuan Agong ketika proklamasi darurat berkuat kuasa masih boleh membuat ordinan yang tidak perlu dibentan di Parlimen sebagai undang-undang. 

“Kita sudah lihat betapa sukarnya untuk meminda Akta 355 di Parlimen suatu ketika dahulu. Pelbagai tohmahan yang dilontarkan kepada institusi Islam. 

“Mungkin Yang di-Pertuan Agong boleh mewujudkan ordinan tertentu bagi meningkat dan memperluaskan hukuman yang diberikan kepada Mahkamah Syariah sekurang-kurangnya dalam tempoh darurat ketika ini. 

“Setiap saranan syor atau kritikan mestilah dibuat dalam kerangka undang-undang Malaysia, bukan hanya mengimport norma dari luar untuk disemai di Malaysia yang penuh dengan tata susila, adab dan sopan santun,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button