Mesir buka persimpangan Rafah selama 4 hari mulai Isnin
Pesakit, pelajar, pemegang pasport sahaja dibenar lakukan perjalanan ke Mesir

GAZA, 18 Jamadilakhir 1442H, Ahad – Pihak berkuasa Mesir akan membuka semula sementara persimpangan Rafah dengan Semenanjung Gaza selama empat hari bagi perjalanan kedua-dua arah, menurut Kementerian Dalam Negeri yang dikendalikan pergerakan Hamas di Gaza.
Keputusan membuka sementara persimpangan itu dibuat untuk kali pertama dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini.
Dalam satu kenyataan media, kementerian memaklumkan persimpangan Rafah di sempadan dengan Mesir akan dibuka mulai Isnin hingga Khamis.
“Kementerian akan membenarkan pesakit, pelajar, pemegang pasport Mesir dan asing serta mereka yang memiliki dokumen tempat tinggal untuk melakukan perjalanan,” katanya.
Dengan kerjasama kementerian kesihatan, pihak kementerian dalam negeri akan mengendalikan ujian saringan COVID-19 untuk semua individu yang melakukan perjalanan, kata kenyataan itu.
Gaza mempunyai tujuh laluan sempadan yang menghubungkannya dengan dunia luar, di mana enam daripadanya dikendalikan rejim pengganas Israel, sementara persimpangan Rafah dikawal oleh Mesir. – Agensi