Berita Utama

Perlukah kaedah penilaian pelajar sekolah dirombak?

Ada cadangkan UPSR, PT3 dibatalkan akibat daripada COVID-19

KUALA LUMPUR, 18 Jamadilakhir 1442H, Ahad – Semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dilaksanakan akibat pandemik COVID-19 pada Mac tahun lepas, sektor pendidikan antara yang paling terkesan dan isu berkaitannya masih belum reda hingga hari ini.

Ancaman COVID-19 telah menyebabkan beberapa keputusan penting diambil Kementerian Pendidikan (KPM) termasuk membatalkan dua peperiksaan utama tahun lepas iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi Tahun 6 dan Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Cadangan memansuhkan kedua-dua peperiksaan itu (UPSR dan PT3) pernah dibangkitkan sebelum kedatangan pandemik lagi namun mendapat pelbagai halangan termasuk bantahan daripada ibu bapa.

COVID-19 juga menyebabkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia (SPVM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020 yang sepatutnya diduduki pada hujung tahun lepas ditangguhkan ke awal tahun ini.

Hampir 500,000 calon SPM, SPVM, STAM dan 47,008 calon STPM dijangka menduduki peperiksaan penting itu bermula Februari dan Mac ini.

Dengan apa yang berlaku sekarang, ada beranggapan sektor pendidikan yang paling teruk terjejas akibat COVID-19. Mungkin kesan pandemik ini boleh menjadi titik awal perubahan dalam penilaian pelajar di peringkat sekolah rendah hingga menengah yang sebelum ini memfokuskan kepada peperiksaan sebagai cara utama menilai keupayaan pelajar.

Cadangan beberapa pihak termasuk ahli akademik terutamanya agar sistem pendidikan tidak lagi melihat kepada sistem peperiksaan sebaliknya meneroka bakat dan keperluan mandiri pelajar perlu diberikan pertimbangan serius.

Walaupun masih menjadi perdebatan untuk mengadaptasikannnya dalam sistem pendidikan, namun jalan ke arah itu harus dibuka seluas-luasnya, menurut pensyarah Pusat Kajian Kesejahteraan dan Pendidikan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Anuar Ahmad.

Katanya, sistem penilaian boleh dilakukan dalam bentuk yang lain antaranya penilaian secara berterusan.

“Penilaian yang baik dan berkualiti itu mungkin boleh dilaksanakan dalam bentuk yang lain. Lembaga Peperiksaan perlu lebih terbuka dalam meneroka perkara ini. Pemikiran baharu amat diperlukan, sesuai dengan perubahan semasa yang berlaku hari ini kerana kita sudah terlalu lama dalam aspek peperiksaan secara tradisional,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Jelas beliau, pandemik ini memberi satu pengajaran bahawa kita tidak boleh lagi menunggu dalam bentuk peperiksaan yang sebenarnya sudah ketinggalan dari segi pengalamannya.

“Kita harus bergerak pada bentuk penilaian yang lebih baik, lebih baharu yang lebih sesuai dengan masa dan ketika ini serta masa hadapan. Melalui sistem peperiksaan yang ada sekarang mungkin pelajar boleh mendapat A, B atau C tetapi sejauh mana subjek yang dia (pelajar) tahu itu dikuasai dalam konteks amalannya, keupayaannya untuk melakukan kreativiti,” katanya

Sebagai contoh, ada pelajar yang boleh menghafal dan memperoleh A dalam subjek tertentu tetapi adakah pelajar itu mampu memberi hujahan atau kreativiti mahupun berfikir luar daripada apa yang dihafalnya.

“Oleh itu, bagaimana untuk membina satu kumpulan pelajar yang inovasi, kreatif kalau masih mengamalkan sistem peperiksaan yang ada seperti sekarang ini. Sistem penilaian ini mestilah diangkat dalam bentuk yang baharu jika kita mahu melahirkan generasi yang kreatif dan inovatif,” tegasnya.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berpendapat sudah tiba masanya sistem penilaian berasaskan peperiksaan dirombak dengan memperbetul arah tuju penilaian secara menyeluruh.

Situasi semasa pendidikan Malaysia terlalu berorientasikan peperiksaan khususnya kebergantungan kepada peperiksaan dan pemberatan penekanan pencapaian akademik, katanya.

Penilaian pelajar harus dalam pelbagai aspek ke arah pemikiran aras tinggi yang mencakupi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosialisasi.

Mohamad Ali berkata unsur-unsur pemikiran kreatif, saintifik dan aras tinggi ini perlu dipasak seawal mungkin di peringkat prasekolah melalui kaedah yang lebih menarik termasuk menerusi permainan.

Apabila telah disemai di peringkat awal, pendidikan yang diterima dan dipelajari itu menjadi keseronokan, tidak jumud dan mampan sepanjang masa dan zaman.

Beliau mencadangkan beberapa langkah antaranya melaksanakan Penilaian Berterusan Sekolah (PBS) dan tidak 100 peratus peperiksaan akhir tahun.

“PBS yang diamalkan…mungkin bagi sistem penggal persekolahan dengan pengambilan markah 33:33:34 (tiga penggal) atau bagi sistem semester 50:50/60:40 (dua semester). Teori dan amali atau tugasan juga dipastikan (diseimbangkan) bagi setiap mata pelajaran,” katanya, sambil menambah kaedah ini juga perlu diterapkan dalam peperiksaan utama seperti SPM dan STPM. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button