Berita Utama

Stigma, diskriminasi sumbang penularan penyakit kusta

Pandangan negatif sebabkan pesakit enggan hadir ke klinik

KUALA LUMPUR, 18 Jamadilakhir 1442H, Ahad – Stigma dan diskriminasi antara permasalahan dikesan masih dihadapi pesakit kusta yang akhirnya menyumbang kepada penularan penyakit itu dalam komuniti, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Pandangan negatif ini katanya menyebabkan pesakit dan kontak rapat mereka bukan sahaja enggan kelihatan hadir di klinik, malah enggan disaring dan diberi rawatan untuk penyakit kusta.

“Sama-samalah kita berusaha untuk membasmi atau menipiskan stigma dan diskriminasi yang diyakini menjadi salah satu punca kepada penularan kusta dalam kalangan keluarga dan komuniti di lokaliti endemik di Malaysia,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Kusta Sedunia 2021 bertemakan ‘Bersama Hentikan Kusta’.

Hari Kusta Sedunia disambut setiap tahun pada hari Ahad terakhir bulan Januari.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata setiap anggota kesihatan dan pemimpin masyarakat juga perlu memainkan peranan masing-masing dalam mewujudkan kesedaran mengenai penyakit ini khususnya kepada komuniti di lokaliti endemik berisiko tinggi.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan sentiasa komited untuk memperkukuh semua aktiviti kawalan dan pencegahan di bawah Program Kawalan Kusta Kebangsaan dengan penekanan diberikan terhadap pengesanan kes secara aktif dalam kalangan golongan berisiko di lokaliti endemik.

Sebagai rekod, Dr Noor Hisham berkata Malaysia telah mencapai tahap eliminasi kusta pada 1994 dengan kadar prevalen 0.9 kes bagi setiap 10,000 penduduk selari sasaran ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia iaitu kurang daripada satu kes bagi setiap 10,000 penduduk. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button