Dunia

‘Tiada kewajiban’ alasan Israel enggan beri vaksin pada Palestin

1.3 juta rakyat Israel terima 2 suntikan dalam masa 3 minggu

SETIAP hari boleh dikatakan beribu-ribu rakyat Palestin menyeberangi Tebing Barat ke Israel untuk bekerja atau mendapatkan khidmat kesihatan.

Selain itu, di Tebing Barat juga dapat disaksikan rakyat negara tidak diiktiraf Israel dan Palestin membeli-belah atau mengisi minyak di tempat yang sama.

Namun begitu, pada ketika rakyat Israel menerima vaksin COVID-19 sehingga disifatkan sebagai paling pantas di dunia, penduduk Palestin masih terpinga-pinga dan bertanya bilakah mereka bakal menerima suntikan pertama.

Permasalahan itu menimbulkan persoalan etika sama ada wajar atau tidak Israel menyelesaikan isu pandemik berkenaan secara berseorangan tanpa melibatkan penduduk Palestin.

Situasi tersebut merupakan antara perkara yang dikritik hebat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu lalu, sehingga diberi gelaran ‘vaksin nasionalisme’ di mana negara-negara membangun hanya memberi tumpuan kepada kepentingan rakyat mereka sahaja.

Pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Tebing Barat dan Gaza, Gerald Rockenschaub berkata, cabaran dalam COVID-19 hanya dapat diselesaikan secara kolektif dan solidariti.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia masih bimbang dengan gejala ketidaksamaan dalam pengagihan vaksin COVID-19 di seluruh dunia terutamanya kepada negara berpendapatan rendah dan sederhana.

“Perbezaan di antara Israel dan Palestin menjadi refleks kepada ketidakseimbangan dunia dan menyerlahkan keperluan kerjasama antarabangsa dalam memastikan liputan vaksin yang berkesan di seluruh dunia,” kata Rockenschaub.

Selepas mencapai kata sepakat dengan pengeluar vaksin COVID-19, Pfizer, seramai 2.7 juta rakyat Israel menerima satu daripada dua suntikan, atau satu pertiga daripada populasi penduduknya.

Sehingga kini, seramai 1.3 juta penduduk negara haram Israel sudah menerima kedua-dua suntikan vaksin dalam masa tiga minggu menurut laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Israel.

Pada masa sama, Pejabat Kesihatan Palestin masih belum melancarkan sebarang kempen vaksin untuk penduduk negara itu yang berjumlah lima juta orang di Tebing Barat dan Gaza.

Mereka kini dilaporkan masih menantikan kehadiran vaksin yang ditempah dari syarikat farmasi termasuk bantuan vaksin subsidi dari Gavi COVAX Advanced Market Committment – inisiatif membantu negara berpendapatan rendah.

Bagaimanapun, tiada satu pun di antara vaksin berkenaan akan sampai dalam masa terdekat dan dijangkakan ianya tidak dapat menampung keseluruhan penduduk Palestin.

Sesetengah penduduk Palestin termasuk pegawai antarabangsa mengutuk Israel kerana tidak menyalurkan vaksin kepada negara tersebut yang hidup di bawah jajahan Zionis sejak tahun 1967.

“Penjajah yang berkuasa tidak memberikan vaksin kepada penduduk Palestin yang duduk di bawah kawasan jajahan mereka pada hari ini, mereka mendakwa tiada kewajiban untuk berbuat demikian,” kata Menteri Luar Negara Palestin, Riad Malki. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button