Berita Utama

Kalimah Allah: Kerajaan Anwar gagal pertahan kesucian, ketinggian agama Islam

‘Pihak mana desak tarik balik rayuan hingga Menteri KDN akur dan tunduk?’

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 25 Syawal 1444H, Selasa – Kerajaan Madani jelas menunjukkan kegagalan dalam mempertahan kesucian dan ketinggian Islam sebagai agama Persekutuan susulan tindakanya menarik rayuan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Jill Ireland Lawrence Bill menggunakan kalimah Allah bagi penggunaan orang bukan Islam dalam agama mereka.

Ia seolah-olah membenarkan identiti dan terminologi eksklusif tersebut disalah guna sewenang-wenangnya oleh pendakyah bukan Islam, tegas Naib Presiden BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman al-Hakim Mohamad.

“Tindakan berkenaan jelas menunjukkan tiada apa-apa lagi yang boleh diharapkan daripada kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini menuju kehancuran.

“Langkah ini sebenarnya boleh mengelirukan dan memesongkan akidah generasi muda Islam yang sememangnya sedia goyah kefahaman dan pengamalan agama mereka,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Atas dasar itu, Mohammad Lukman mempersoalkan pihak mana yang mendesak rayuan itu ditarik balik hingga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tunduk dan akur dalam hal ini.

Katanya, ‘tragedi’ ini semestinya melukakan hati perasaan seluruh umat Islam di negara ini.

Justeru, tiba masanya umat Islam seluruhnya sedar bahawa perlu ada perubahan terutama dalam menjaga kedudukan negara sebagai sebuah negara Islam, selain memastikan kedudukan Melayu tidak terus terancam.

Semalam, KDN dan kerajaan Malaysia dilaporkan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak Perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, 18 April lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button